Selasa, 10 Mei 2016

'Tiada niat tiru Zayn Malik

Memiliki wajah persis Zayn Malik, penyanyi dan pelakon Singapura, Harris Baba sering dibandingkan pengikut media sosial dengan bekas anggota kumpulan One Direction itu.

Malah penyanyi kacukan Pakistan, Cina dan Iran ini pernah diserbu peminat yang menyangka dia Zayn ketika One Direction mengadakan konsert di Singapura tahun lalu.

Harris, 25, berkata situasi itu membuatkan dia berasa kekok berikutan peminat One Direction terbabit meminta mengambil gambar kenangan bersamanya.

“Saya terkejut tiba-tiba ada gadis menjerit nama Zayn dan terus mengajak bergambar,” katanya pada majlis pelancaran single sulung Katakan, baru-baru ini.

Bagaimanapun, pelakon teledrama Alien Planet Cinta itu menegaskan persamaannya de­ngan Zayn hanya kebetulan dan tiada niat meniru penampilan penyanyi itu.

“Sejak kali pertama muncul di televisyen pada 2013 sehingga sekarang masih ada orang mengaitkan saya dengannya. Malah di media sosial, ada peminat penyanyi itu turut menghantar mesej peribadi kepada saya,” katanya.

Menganggap ia sebagai kelebihan untuk karier seninya, Harris berkata dia tidak tertekan cuma kecewa apabila ada pihak menuduh dia mahu berlagak seperti Zayn.

“Saya sudah selesa dengan penampilan sekarang dan tidak merancang mengubah gaya,” katanya.

Bercerita mengenai single sulungnya Katakan, Harris menganggap dirinya bertuah kerana berpeluang menyanyi karya ciptaan komposer hebat Faizal Tahir.

“Tahun lalu, saya menghantar mesej peribadi kepada Faizal menerusi Instagram meminta dia menghasilkan lagu untuk saya. Tak sangka selepas dua minggu, Faizal membalas mesej saya dan mahu berjumpa,” katanya.

Merakamkan single Katakan pada Januari lalu, Harris berkata bakat Faizal dalam nyanyian dan menghasilkan lagu berkualiti membuatkan dia tertarik untuk bekerjasama dengan komposer itu.

“Bukan saja di Malaysia, nama Faizal turut dikenali di Singapura. Faizal ibarat seorang abang dan dia banyak memberi nasihat serta motivasi kepada saya dalam bidang nyanyian,” katanya.

Bercerita lanjut, Harris berkata menyanyi dalam bahasa Melayu tidak sukar kerana lirik lagu Katakan mudah disebut.

“Saya belajar bahasa Melayu daripada rakan di Singapura. Apabila datang ke Kuala Lumpur, saya dapat belajar bahasa itu dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, lirik video Katakan yang dimuat naik di YouTube pada 25 Mac lalu mendapat sambutan sejak dimainkan di corong radio.

Lagu ini juga boleh didapati di iTunes, KKBox, Spotify dan Deezer.

Tiada ulasan:
Write ulasan