Rabu, 11 Mei 2016

Selesai Kes Pukul, Saman Malu Terhadap Awie Pula Bakal Menyusul

PETALING JAYA: Ibarat jatuh ditimpa tangga. Selepas mengaku bersalah dan dikenakan denda RM2,000 oleh mahakamah, penyanyi Awie bakal berhadapan dengan tindakan, selepas bekas isterinya berhasrat mengemukakan saman malu atas fitnah dibuat penyanyi itu.

Rozana Misbun, 38, berkata, langkah itu terpaksa diambil kerana segala fitnah dilemparkan Awie boleh meninggalkan kesan terhadap dirinya dan anak-anak kerana tuduhan yang dilaporkan media itu akan kekal sebagai bahan bacaan di Internet.

"Secara jujur, saya nekad untuk kemukakan pula saman malu kepada Awie demi anak-anak saya. Saya tahu apabila sesebuah berita itu dilaporkan, ia akan tersimpan dalam data Internet dan tentunya akan menimbulkan persoalan daripada anak-anak apabila mereka besar nanti,” katanya kepada mStar Online.



Terdahulu Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, diarahkan membayar denda sebanyak RM2,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda oleh  Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Rozana.

Awie didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan itu di kaunter Permodalan Nasional Berhad (PNB), Jalan Tun Razak di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014.

Awie didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu pada 7 Mac lalu, Mahkamah Majistret Ampang pula melepas dan membebaskan Awie daripada pertuduhan mencederakan Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Ampang, selepas mereka bersetuju kes itu diselesaikan dengan cara Awie membayar kompaun RM10,000 dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Rozana.

Media sebelum ini melaporkan tuduhan Awie kononnya dia menemui pelbagai barangan terlarang yang dikaitkan sebagai perbuatan sihir dilakukan Rozana di rumah mereka.

Sementara itu kata Rozana, dia enggan apabila anak-anaknya dewasa kelak, mereka akan bertaya kenapa dia sebagai ibu tidak mempertahankan diri dengan fitnah yang dilemparkan sekiranya benar dia tidak bersalah.

Katanya, langkah mengemukakan saman malu itu secara tidak langsung menjadi bukti, dia berusaha membersihkan nama di mata masyarakat selepas difitnah oleh suami sendiri ketika itu.

Ditanya reaksi dia selepas pengakuan bersalah Awie, Rozana berkata, penyanyi rock itu wajar membuat pengakuan berkenaan kerana pihaknya mempunyai bukti kukuh berupa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berjaya merakamkan perbuatan Awie memukulnya di kaunter PNB.

Rozana juga meminta Awie agar tidak terus membangkitkan kononnya dia melesapkan wang Amanah Saham Bumiputera (ASB) sedangkan wang dalam akaun berkenaan adalah pinjaman (loan) yang dibuat menerusi sebuah bank dan tidak boleh dikeluarkan jika belum tiba tempoh matang.

“Loan sebanyak RM200,000 itu saya bayar sendiri ansurannya sejak dua tahun terdahulu sebelum kes insiden pukul itu berlaku dan mana mungkin wang berkenaan sewenang-wenangnya dapat dikeluakan jika simpanan masih belum matang,” katanya.

Ujar Rozana, jika Awie masih belum jelas tentang hal itu, ia boleh dirujuk kepada PNB pada bila-bila masa untuk mendapat kepastian.

Hasil perkahwinan Awie dengan Rozana, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.

Tiada ulasan:
Write ulasan