Khamis, 12 Mei 2016

Search Beri Masa 48 Jam Untuk Yazit Tarik Semula Laporan Polis

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Search iaitu Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman memberi tempoh selama 48 jam untuk pemain dram kumpulan itu Yazit Ahmad agar menarik balik laporan polis atas dakwaan pecah amanah terhadap kumpulan mereka.

Amy, 57, berkata, mereka turut menuntut Yazit untuk membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap dakwaan buruk yang dianggap fitnah dan tidak berasas itu.

"Kami memberi tempoh 48 jam untuk Yazit menarik laporan polis yang dibuat pada 4 Mei lalu yang mendakwa terdapat pecah amanah dalam konsert Search 35 tahun yang bakal berlangsung 30 Ogos depan.

"Apa yang dituduh itu tidak berasas sama sekali dan saya menuntut dia meminta maaf secara terbuka atas fitnah berkenaan," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Rabu.

Amy ditemui pada sidang media bagi menjelaskan dakwaan pecah amanah oleh pemain dram kumpulan itu Yazit dalam satu laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju pada 4 Mei lalu.

Yazit turut mendakwa ditengking oleh isteri vokalis tersebut Norhasniza Hassan atau Nourish ketika bertanya soal bayaran.


Dalam pada itu, Amy menjelaskan bayaran pendahuluan yang diterima daripada pihak penaja konsert 35 Tahun iaitu Afjets sebanyak 30 peratus yang dipersoalkan adalah merupakan bajet untuk promosi.

"Kami belum menerima bayaran penuh sebaliknya pendahuluan sebanyak 30 peratus adalah untuk tujuan promosi dahulu.

"Namun, saya difahamkan oleh pihak Afjets sudah memberi dia (Yazit) sebanyak RM10,000 setelah diminta," ujarnya.

Search turut dianggotai oleh Nasir Daud, Nordin dan Kit.

Dalam pada itu, Amy berkata, jika Yazit gagal bertindak demikian meraka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya demi menjaga nama baik kumpulan itu.

"Kami memberi tempoh 48 jam kerana mendapat tahu bahawa dia akan mengadakan sidang media esok (Khamis) dan kami rasa itu adalah masa terbaik jika dia ingin memohon maaf.

"Semua terpulang kepada dia dan jika tidak kami akan ambil tindakan undang-undang demi menjaga nama baik kami," ujarnya.

Search turut diwakili oleh peguam Yusmadi Yusof.

Sementara itu, menjelaskan tentang ditengking oleh Nourish, Amy berkata, isterinya itu bertindak setelah diprovokasi oleh Yazit dengan kata-kata yang kesat.

Kata Amy, tindakan isterinya itu merupakan reaksi apabila Yazit menuduhnya sebagai penipu.

"Pada mulanya Yazit menghubungi Nasir, namun Nasir enggan melayan kerana dia telefon untuk marah dan kata-kata kesat.

"Selepas itu, dia menghubungi pula isteri saya untuk bertanya tentang bahagiannya (wang) dan dia menuduh saya dengan macam-macam kata-kata kesat sehingga menimbulkan kemarahan isteri saya yang mendengarnya," ujar Amy. 

Tiada ulasan:
Write ulasan