Ahad, 15 Mei 2016

Saya Hanya Mampu Melihat Tangan Mangsa Menepuk Tingkap Meminta Tolong...'

KEMAMAN - Seorang pemandu kereta Perodua Myvi, rentung akibat kemalangan di Kilometer 118 Jalan Jerangau-Jabor, Kampung Padang Kubu, pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 8 pagi itu, kereta Myvi mangsa terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Proton Persona, sebelum terbakar.

Pemandu Proton Persona berjaya diselamatkan oleh orang awam dan telah dihantar ke Hospital Kemaman. Namun, pemandu Myvi gagal diselamatkan berikutan api terlalu marak.



Individu yang menyelamatkan pemandu Persona, Black Ganu, berkongsikan detik-detik mencemaskan itu di laman Facebooknya, cetus rasa simpati netizen. 

"Saya memberanikan diri untuk menolong mangsa kemalangan yang melibatkan dua buah kereta. Semasa tiba, kedua-dua kereta telah terbakar. Saya melihat mangsa di dalam kereta Persona mengerang kesakitan sambil mukanya memandang saya. 

"Tanpa berfikir panjang, saya terus terjun dari motosikal dan cuba menyelamatkan kakak itu biarpun api tengah marak. Dengan kuasa Allah dan kudrat saya seorang, kakak itu berjaya dikeluarkan," ceritanya. 


Bagaimanapun, Black meluahkan rasa terkilannya yang tidak dapat menyelamatkan mangsa kedua dalam kereta Myvi. 

"Sampai sekarang saya rasa terkilan sebab tidak dapat nak selamatkan mangsa dalam kereta Myvi sebab api terlampau besar dan cermin kereta juga tertutup menyebabkan asap hitam terkumpul di dalamnya. 

"Saya hanya mampu melihat tangan mangsa yang lemah menepuk-nepuk tingkap meminta tolong. Memang saya terkilan sangat namun semua ini diluar kemampuan saya," katanya. -

Tiada ulasan:
Write ulasan