Pendaftaran Online Rumah Mampu Milik Rumah Selangorku

Pendaftaran Online Rumah Mampu Milik - Rumah Selangorku. Dewasa ini, antara masalah rakyat marhein ialah kesukaran untuk mendapatkan rumah mampu milik. Mana tidaknya, harga rumah saban tahun melonjak naik hingga ada yang dirasakan tidak masuk akal. Dahulu, semasa pertama kali membeli rumah sendiri (2004), harga yang kami beli ialah RM165,000 untuk rumah teres dua tingkat, sekarang harganya sudah mencecah sehingga RM250,000 sebuah, itupun dengan keluasan yang sudah dikecilkan.

Memang sukar sekarang untuk mendapat harga rumah yang di bawah RM300,000 seunit (bergantung pada jenis dan keluasan), terutama di bandaraya besar seperti Kuala Lumpur. Ada banyak sebab kenapa harga rumah ini naik mendadak, antaranya ialah kos pembinaan, kos harga tanah, permintaan tinggi dan pelbagai lagi. Nak tak nak, mana yang mampu (dari segi pendapatan tahunan) terpaksa juga beli sebab kediaman dan tempat tinggal adalah satu keperluan.

Pendaftaran Online Rumah Selangorku


Namun begitu, masih ada harapan dan peluang untuk rakyat marhein seperti saya dan anda untuk mendapatkan rumah dan kediaman sendiri dengan harga mampu milik, antaranya menerusi program Rumah Selangorku. Program pemilikan rumah di Selangor ini telah dimulakan sejak tahun 2015 lagi, dan mendapat perhatian ramai golongan terutama berpendapatan sederhana.

Kini, proses untuk membeli dan mendapatkan rumah menerusi program Rumah Selangorku boleh dibuat secara online menerusi portal e-Hartanah Selangor (Sistem Pendaftaran Permohonan Hartanah Negeri Selangor). Sebagai membantu program ini untuk lebih ramai ambil peluang memiliki rumah, saya sediakan artikel khas pendaftaran online Rumah Selangorku sebagai panduan dan rujukan untuk mereka yang mahu memiliki rumah dan hartanah di Selangor.

Cara-Cara Untuk Membuat Pendaftaran Online Rumah Selangorku

Sila ikuti tatacara yang ditunjukkan di bawah ini.

1. Sila pergi ke laman e-Hartanah Selangor (http://ehartanah.lphs.gov.my/lphs/index.php). Paparan di bawah akan keluar di skrin komputer anda. Sila pilih 'Daftar Baru'.

2. Semakan akan dibuat ke atas nombor kad pengenalan anda, sila masukkan nombor kad pengenalan anda di dalam ruangan disediakan seperti ditunjukkan di bawah. Tekan butang 'Semak' dan rekod permohonan rumah akan dipaparkan. Jika tiada rekod, maka status di bawah akan keluar, dan anda perlu tekan butang 'Mohon' untuk langkah seterusnya.


3. Paparan dengan ruangan kosong seperti di bawah akan keluar. Isi butiran yang diminta dengan lengkap. Pastikan email anda adalah email yang sah dan selalu anda gunakan. Letakkan kata laluan anda. Pilih Jenis Bangunan - Rumah Selangorku untuk proses pendaftaran online program rumah mampu milik Rumah Selangorku. Pilih juga kategori keluasan rumah.

  4. Sila periksa email anda untuk sebarang notifikasi pengesahan dari laman web e-Hartanah Selangor. Sekarang, anda sudah boleh login dan masuk ke laman permohonan online untuk program rumah mampu milik Rumah Selangorku. Hanya gunakan alamat email dan kata laluan yang telah anda isi dan daftar sebelum ini.

Sekarang, anda sudah pun mendaftar di portal e-Hartanah Selangor. Langkah seterusnya ialah untuk anda membuat permohonan bagi mana-mana projek perumahan yang ada disediakan di Selangor, khususnya untuk kediaman mampu milik.
Perkara Penting Sebelum Membuat Permohonan Program Rumah Selangorku

Sebelum anda memohon, saya syorkan anda baca dahulu keterangan di bawah ini untuk lebih penjelasan mengenai program Rumah Selangorku ini. Ia penting supaya anda tahu mengenai kelayakan, harga rumah, dokumen yang perlu disediakan dan sebagainya.

Sila sediakan salinan dokumen berikut sebelum anda memohon:
  • Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan;
  • Salinan kad pengenalan atau sijil kelahiran anak-anak/tanggungan;
  • Salinan Surat Nikah/Daftar Perkahwinan/Surat Cerai/Sijil Kematian pasangan;
  • Surat Pengesahan bujang daripada majikan atau Pesuruhjaya Sumpah sekiranya bekerja sendiri bagi pemohon yang belum berkahwin;
  • Penyata gaji terkini atau pengesahan pendapatan daripada Pesuruhjaya Sumpah sekiranya bekerja sendiri;
  • Surat akuan bersumpah daripada pesuruhjaya sumpah sekiranya pasangan tidak bekerja;
  • Penyata KWSP (jika ada); dan
  • Salinan bil air atau bil elektrik.

Dokumen di atas perlu disediakan samada dalam bentuk imej (jpg, png) atau dalam bentuk PDF agar boleh dimuat-naik semasa proses permohonan rumah mampu milik menerusi Rumah Selangorku.


Syarat Permohonan Rumah Selangorku

Ok, sekarang beralih kepada kelayakan untuk memohon ... sila ambil perhatian mengenai syarat permohonan ini, jika tidak anda akan membuat kerja sia-sia dengan mengisi borang pendaftaran dan permohonan ini kerana pasti sekali permohonan akan ditolak jika mengabaikan syarat-syarat ini.

  • Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas;
  • Pendapatan minimum bagi permohonan Rumah Selangorku Jenis B, C dan D ditetapkan RM3001.00 sebulan;
  • Pendapatan maksimum isi rumah adalah RM8,000.00 sebulan;
  • Pemohon (suami/isteri) tidak mempunyai sebarang jenis rumah kediaman di Selangor.
  • Pemohon bujang yang mempunyai tanggungan keluarga boleh memohon; dan
  • Pembelian rumah untuk didiami dan bukan untuk disewa.
  • Pemohon hanya dibenarkan membuat pilihan 1 jenis rumah sahaja sama ada jenis A, B, C, atau D semasa membuat permohonan
  • Tempoh sah laku bagi setiap permohonan yang didaftarkan adalah selama 2 tahun. Selepas tempoh tersebut data permohonan yang masih menunggu tawaran akan dikeluarkan dari sistem dan pemohon perlu membuat permohonan baru sekiranya masih berminat untuk memohon Rumah Selangorku.

Memang banyak projek perumahan mampu milik yang dikelolakan menerusi program ini. Projek-projek perumahan untuk rakyat ini dilaksanakan oleh beberapa syarikat yang telah dikenalpasti sebagai pemaju yang berwibawa dan memberikan kediamanan yang selesa. Berikut adalah beberapa projek perumahan mampu milik khususnya untuk rakyat Selangor. 

Jadi, untuk mereka yang mencari peluang untuk memiliki rumah sendiri, saya syorkan untuk anda mendaftar dan membuat permohonan secara online. Jangan tunggu lama-lama, kerana permintaan amat tinggi. Jika tidak sekarang, kemungkinan tempat serta lokasi akan habis dimiliki, dan paling mustahak .. beli rumah kediaman sendiri sebelum harganya naik berkali ganda di masa akan datang. Tiada jaminan mengenai harga rumah kediaman mampu milik ini akan terus kekal.


Semoga bermanfaat.


0 comment... add one now