Rabu, 4 Mei 2016

'Mereka Tidak Layak Tinggal Di Tempat Ini...'

Ini tapak pelupusan sampah di Kampung Kuali, Kok Lanas, berhampiran Lapan Sasar Bukit Merbau. Maknanya hanya sampah sarap yang amat menjijikan dibuang di sini. Tetapi, di sebaliknya terdapat rahmat di celah-celah timbunan sampah sarap ini yang menjadi punca rezeki yang halal.

Tetapi bukan itu yang aku nak ceritakan tetapi, kanak-kanak yang aku temui ini yang masing-masing mungkin berusia 7 dan 4 tahun, yang mana bagi aku sendiri, mereka tidak layak tinggal di tempat seperti ini. 

"Mak dan ayah mana?"

"Ada saja di situ. Tengah tidur," kata si kakak.

Sambil berborak-borak dengan mereka berdua, aku bertanya soalan-soalan yang ringkas.

"Dah makan, mandi?"

"Dah, makan maggi. Tapi belum mandi lagi. Air tak ada. Air sungai kering," katanya.

"Tak pergi sekolah ke?"

Mendengar soalan itu, cepat-cepat dia menggelengkan kepala. Tetapi bila aku cakap yang aku ini adalah cikgu, terus dia senyum manis dan memanggil, 'abang cikgu'. Terus mulutnya menyebut, A, B, C, D.. siap tulis di atas tanah berdebu.

"Tak nak pergi sekolah ke?" aku tanya lagi.

Dia tidak mahu. Mungkin dia masih belum mengerti apa makna sekolah. Bila aku kata di sekolah ada kawan-kawan baru, boleh main bola, main kejar-kejar, matanya terus menjadi bulat dan menunjukkan dia berminat. Dia siap berbisik di telinga adiknya,

"Kita pergi sekolah nak tak?"

Apa lagi, macam-macamlah adik dia cakap, tapi tak faham sangat.

Apa yang aku perhatikan, budak-budak ini bebas tanpa kawalan. Sudahlah tempat ini bersebelahan dengan hutan tebal. Dengar cerita orang-orang di situ, sebulan sebelum itu ada harimau di tepi bangsal mereka. Tetapi budak-budak ini bebas. Sambil berlari-lari bekejaran, bila penat, tangan tak berhenti menyelongkar sampah sarap mencari permainan. Si kakak dapat beg Frozen. Si adik pula dapat gambar-gambar. Api yang membakar sampah seolah-olah tidak berkesan. Macam dah lali. Ulat-ulat sampah yang bagi aku amat menjijikan, mereka sapu dengan tangan begitu sahaja.

Hampir dua jam bersama dengan mereka, aku terpaksa melangkah pergi. Kesedihan jelas terpampang di wajah mereka. Tangannya melambai-lambai, tanda mengucapkan selamat tinggal. Ternyata aku amat kasihankan masa depan mereka berdua.

Mereka amat cerdik, petah berkomunikasi. Tetapi setakat ini hidup mereka terabai, keselamatan mereka terancam, kesihatan mereka tak terjamin. Harap pemimpin masyarakat, jenguk-jenguklah mereka walaupun sekejap. - Mohd Saiful Rizuan |

Tiada ulasan:
Write ulasan