Selasa, 3 Mei 2016

MEF Jangka 30,000 Pekerja Diberhentikan Sebelum Julai Ini

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berharap kerajaan menangguhkan pelaksanaan jadual gaji minimum meskipun Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) akan berkuatkuasa mulai 1 Julai tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, jika dasar initerus dilaksanakan, dianggarkan 30,000 pekerja terutama di peringkat bawahan berdepan tindakan pemberhentian kerja oleh majikan sebelum Julai ini.

"Majikan terpaksa menanggung kos yang tinggi jika PGM 2016 berkuatkuasa ekoran cabaran ekonomi semasa. Bagi mengurangkan kos operasi, kemungkinan besar mereka akan melakukan"retrenchment" sebelum Julai kerana jika mereka melakukan selepas Julai,sudah tentu mereka terpaksa menanggung kos lebih tinggi dari segi pembayaran faedah berhenti kerja dan sebagainya," kata beliau kepada Bernama pada Isnin.

Beliau turut menganggarkan 60,000 pekerja akan diberhentikan kerja sepanjang tahun ini ekoran keputusan kerajaan menguatkuasakan PGM 2016 mulai 1 Julai dengan gaji minimum dinaikkan kepada RM1,000 bagi pekerja di Semenanjung manakala RM920 untuk pekerja di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Shamsuddin berkata pekerja yang berisiko diberhentikan kerja ialah dari pelbagai sektor terutama sektor minyak dan gas, perbankan dan kewangan, insurans serta peruncitan.

"Kita tahu sekarang dari segi perolehan sektor peruncitan terutama pasar raya besar, banyak mengalami penurunan dan sesetengah mereka telah menjalankan pemberhentian pekerja walaupun dari segi amalannya mereka masih mengamalkan "voluntary retrenchment," katanya.

Beliau berkata, situasi ini amat membimbangkan dan kerajaan sepatutnya mengambil pendekatan membantu syarikat-syarikat tempatan bertahan dalam masa yang sukar supaya dapat mengekalkan pekerja.

Katanya, sepanjang tahun lepas, banyak syarikat besar merekodkan penurunan perolehan iaitu 30 hingga 40 peratus dan menyebabkan 38,000 pekerja terpaksa diberhentikan.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yakin pelaksanaanPGM 2016 tidak akan membebankan majikan dalam menanggung peningkatan kospembayaran gaji pekerja selepas peraturan baharu itu dikuatkuasakan.

Setiausaha Agungnya N. Gopal Kishnam berkata ia kerana kadar kenaikan gajiminimum baharu yang diumumkan kerajaan baru-baru ini tidaklah terlalu tinggi.

Beliau berkata, kebarangkalian untuk berlakunya kes seperti tunggakan gaji, pembuangan pekerja mahupun penutupan syarikat hanya kerana peningkatan kos pembayaran buruh, adalah kecil.

"Hanya jika keadaan ekonomi benar-benar merosot sehingga tahap terburuk sahaja akan menyebabkan majikan terpaksa bertindak sedemikian untuk menyelamatkan perniagaan mereka.

"MTUC yakin kerajaan telah mengambil kira segenap aspek dan pastinya dasar baharu yang dijangka dikuatkuasakan pertengahan tahun ini akan memberi kebaikan kepada semua pihak," katanya ketika di hubungi Bernama.

Gopal berkata, peningkatan gaji minimum ini merupakan satu bonus kepada pekerja di negara ini yang kini berhadapan situasi ekonomi global yang tidak menentu.

"Selain membantu mengurangkan beban ditanggung mereka, MTUC juga berharap peningkatan gaji ini akan memberi galakan kepada pekerja untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang dan produktif," katanya.-Bernama

Tiada ulasan:
Write ulasan