Ahad, 8 Mei 2016

Kecoh Konon Ditahan Sebab Pakai Baju Ada Simbol Ala Komunis

SINGAPURA – Seorang warga Singapura yang dilaporkan memakai baju dengan lambang mirip parti komunis di Batam, Indonesia menjelaskan dia tidak ditahan pihak berkuasa, seperti dilaporkan media tempatan.
Azri Zulfarhan Kamsin memberitahu agensi berita Mediacorp Singapura bahawa dia juga tidak dibawa ke sebuah bilik konon untuk disoal siasat sebagaimana dilaporkan oleh akhbar berpengaruh Indonesia, Jakarta Post.

Sebaliknya, rakyat Singapura itu menjelaskan dia hanya ditegur dua orang pegawai tentera dan diminta memakai baju corak lain, malah percutian keluarganya diteruskan seperti biasa selama beberapa hari lagi setelah kejadian itu.

Bagaimanapun susulan berita kejadian tersebut tersebar luas menjadi viral, saudara mara dan rakan-rakan yang membaca kisah tersebut berasa panik, kata Azri Zulfarhan walaupun hakikatnya dia sekeluarga tidak apa-apa.

Justeru, dia melahirkan rasa kecewa dengan laporan media menyebut dirinya ditahan dan berkata: “Kami terpaksa jelas kepada mereka apa yang sebenarnya berlaku sebaik sahaja pulang ke Singapura dan ini menyusahkan kami.”

Malah Azri Zulfarhan melahirkan rasa sedih apabila ibu bapanya yang ‘okey‘ semasa percutian, kini terkejut dengan pengalaman itu dan berkata: “Ia hanya nasihat mudah pihak berkuasa Indonesia tetapi diperbesar-besarkan.”

Menceritakan lebih lanjut perspektif mengenai insiden tersebut, Azri Zulfarhan berkata pada 30 April, dia dan lima lagi anggota keluarganya makan tengah hari di restoran A&W di pusat beli-belah Mega Mall Batam Centre.

Ketika hendak meninggalkan restoran itu untuk menyertai tiga anggota keluarga yang lain, mereka dihampiri dua pegawai yang meminta untuk melihat corak baju-T yang dipakainya – mempunyai lambang tukul besi dan sabit.

“Apabila ditanya mengapa mereka mahu melihatnya, dua pegawai ini kemudian memperkenalkan diri dengan baik dan meminta melihat corak itu sekali lagi, dan saya pun terus bersetuju,” katanya kepada Mediacorp Singapura.

Kata Azri Zulfarhan, menurut kad pengenalan mereka, dua pegawai tersebut adalah anggota tentera berpakaian preman bahkan portal popular Merdeka.com melaporkan, mereka tersebut dari Komand Tentera Batam 0316.

Dia berkata kedua-dua pegawai itu meminta untuk merakam gambar baju dengan lambang tukul besi dan sabit tersebut dengan kamera, dan Azri Zulfarhan tidak keberatan malah turut membenarkan mereka berbuat demikian.

Dua pegawai itu memberitahunya bahawa lambang tersebut dilarang di Indonesia dan meminta dia ganti baju itu serta merta. Seorang anggota keluarganya meninggalkan A&W untuk mendapatkan baju yang lain untuk dirinya.

Sementara menunggu bantuan baju lain, Azri Zulfarhan dan dua pegawai itu kembali ke A&W duduk di sebuah meja di restoran tersebut. Justeru dia menjelaskan bahawa tidak sama sekali ditahan dan dibawa ke bilik soal siasat.

Azri Zulfarhan berkata, ketika duduk bersama-sama dua pegawai itu di A&W buat seketika, mereka menjelaskan mengapa lambang tukul besi dan sabit itu adalah dilarang keras penggunaannya di seluruh Indonesia.
Azri Zulfarhan
“Kami berbual-bual buat seketika. Mereka cukup baik hati dan berkongsi dengan saya bahawa corak tersebut agak mirip dengan lambang sebuah parti fahaman komunisme mereka yang lama (Parti Komunis Indonesia atau PKI).

“Mereka jelaskan mengapa tidak dibenarkan dan mengingatkan saya bahawa meskipun negara-negara lain sudah berdamai dengan rejim komunisme, rakyat Indonesia masih belum berdamai dengan sejarah hitam kekejaman itu.

“Mereka tunjukkan saya beberapa gambar corak lain yang dilarang. Kami kemudian bercakap tentang anak-anak kami, keluarga mereka, ke mana kami mahu pergi di Batam pada hujung minggu itu,” kata Azri Zulfarhan lagi.

Dia kemudian menjelaskan, baju merah dengan lambang tukul besi dan sabit yang dipakainya pada hari itu adalah hadiah dari Vietnam. “Saya memakainya seperti baju-T yang lain. Saya tidak ada niat buruk sekalipun,” ujarnya.

Lambang tukul besi dan sabit merupakan simbol untuk bendera lama Kesatuan Soviet sebelum rejim komunisme itu tumbang pada 1991 sekali gus negara terbesar di dunia berpecah menjadi Rusia dan persekutuan komanwelnya.

Azri Zulfarhan menceritakan, selepas menggantikan baju warna merah tersebut dengan baju corak yang lain, kedua-dua pegawai itu mengambil baju berkenaan untuk dijadikan sebagai bukti bagi menulis laporan tugasan mereka.

Katanya, secara kebetulan ada label pada baju-T tersebut yang menyatakan ia diperbuat dari Vietnam. “Mereka catat butiran peribadi dan merakam gambar pasport kami sebelum kami kemudian meneruskan perjalanan lain pula.

“Saya tidak diminta menandatangani sebarang kenyataan atau laporan. Saya juga tidak didenda atau bayar apa-apa kompaun pun,” katanya mengakui pengalaman tersebut tidak menjejaskan percutian dia dan keluarganya di Batam.

Menurut Azri Zulfarhan, semua anggota keluarganya, termasuk ibu bapa, adik beradik serta keluarga sebelah adik beradiknya, meneruskan percutian mereka beberapa hari seperti biasa tanpa sebarang masalah selepas itu.

“Kami selalu bercuti di Batam dan tidak pernah ada sebarang masalah dengan pihak berkuasa di sana. Saya hormat dengan pegawai yang berbudi bahasa dan baik hati, namun masih lagi tegas sepanjang insiden tersebut,” katanya. –

Tiada ulasan:
Write ulasan