Jarang Berlakon Filem, Fathia Tidak Jangka Menang ABPBH29

PETALING JAYA: Aktres Fathia Latiff  tidak menjangkakan bakal memenangi  Pelakon Filem Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 29 (ABPBH29) yang berlangsung malam Ahad kerana kurang berlakon filem.

Bagaimanapun, Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff, 28, berkata, dia menganggap anugerah tersebut sebagai rezeki yang sudah ditetapkan Allah dan tidak boleh dipersoalkan.

"Saya jangkakan nama saya pada kategori drama kerana saya lebih banyak terlibat dalam drama-drama temptan berbanding berlakon filem.

"Ini rezeki daripada Allah dan kita sebagai manusia tidak boleh mempersoalkannya, saya gembira dan bersyukur dengan rezeki dan pengiktirafan yang saya dapat pada malam ini," ujarnya kepada mStar Online.

Fathia berkata demikian ketika ditemui selepas majlis ABPBH29 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam Ahad.

Fathia diumum sebagai pemenang Pelakon Filem Wanita Popular menewaskan Emma Maembong, Nur Risteena, Neelofa dan Siti Saleha.

Sementara itu, ditanya tentang sama ada populariti yang dikecapi berikutan kontroversi yang dihadapi, Fathia berkata, dia tidak pasti tentang perkara tersebut.

"Saya pun tidak tahu sama ada kontroversi itu membantu atau tidak. Jika berlaku apa- apa kontroversi saya hanya go with the flow sahaja.

"Yang penting ialah kita buat sahaja kerja kita dengan ikhlas," ujarnya.

Sementara itu ditanya tentang syarat-syarat dalam lakonan selepas mengambil keputusan berhijab, Fathia berkata dia masih cuba untuk menjadi wanita muslimah yang baik.

Bagaimanapun, Fathia berkata, sebagai manusia biasa yang sering melakukan kesilapan dia takut untuk meletakkan janji tertentu.

"Berkaitan dengan syarat bersentuhan saya akui sedang mencuba untuk jadi muslimah lebih baik dari semasa ke semasa.

"Saya takut ingin berjanji kerana ini manusia biasa, saya tidak tahu masa depan bagaimana," ujarnya.

0 comment... add one now