Selasa, 3 Mei 2016

Inilah Cabaran Menjadi Isteri Dr Zakir Naik

SHAH ALAM - "Pelbagai cabaran, kesulitan dan  tekanan yang terpaksa ditempuhi, namun dengan rahmat ALLAH SWT setiap masalah itu ada jalan penyelesaiannya," kata Farhat Naik.

Menurut isteri kepada pendakwah terkenal Dr Zakir Naik ini,  setiap hari beliau berdepan rintangan dan kesulitan, tetapi sentiasa memanjatkan kesyukuran kerana ALLAH SWT sentiasa mempermudah urusannya.

Mengakui bukan mudah bergelar isteri kepada pakar perbandingan agama itu, Farhat bagaimanapun berpuas hati dengan cabaran dan kesulitan yang dihadapinya itu.  Dr Zakir Naik

“Setiap hari kami akan berdepan cabaran. Alhamdulillah, ALLAH SWT memilih kami, ia merupakan satu rahmat.

“Kerana setiap hari kita akan berdepan masalah, tetapi percayalah setiap masalah itu akan ada jalan penyelesaiannya dengan rahmat ALLAH SWT,” katanya.

Beliau  berkata demikian bagi menjawab pertanyaan audiens pada sesi sesi soal jawab dalam program Power Talk Mingguan Wanita yang berlangsung di Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Sebelum itu, Farhat menyampaikan ceramah dengan tajuk Muslimah Ideal yang berlangsung sejam sebelum sesi soal jawab, yang dihadiri kira-kira 500 audiens.

Berkongsi pandangan mengenai tajuk Muslimah Ideal, Farhat  menjelaskan sifat-sifat kuasa Muslimah ideal seperti yang ditakrifkan dalam al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Dalam ceramahnya itu, Farhat menceritakan kisah lapan wanita terhebat Islam, antaranya, Fatimah binti Mohamad (puteri kesayangan Rasulullah), Khadijah binti Khuwalid (isteri Rasulullah SAW) Maryam binti Imran (bonda Nabi Isa) dan Asiah binti Muzahim (isteri Firaun).

Beliau juga berkongsi pelbagai pandangan pada sesi soal jawab bersama audiens,  antaranya menyentuh isu wanita Muslimah berkerjaya, peranan dan tanggungjawab dalam masyarakat moden.

Selain itu, Farhat meluahkan rasa sukacitanya dalam kunjungannya ke Malaysia kali ini.

“Kali ini merupakan kunjungan yang terbaik di Malaysia," katanya.

Dalam program yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu, turut diadakan sesi bersama dua orang anak perempuannya, Zikra Naik yang menyampaikan ceramah  berkenaan ibu bapa dan Rushda Naik yang memperdengarkan bacaan al-Quran.

Lebih menarik, kebolehan anak-anak Farhat menyampaikan ceramah dan bacaan al-Quran ternyata memukau hadirin yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur, termasuk remaja.

Tiada ulasan:
Write ulasan