Gagal Minta Cerai, Si Isteri Tikamn Suami Dengan Pisau

SEREMBAN - Seorang juruteknik cedera apabila cuba ditikam oleh isterinya yang berang selepas lelaki terbabit mengganggunya di rumah sewa di Taman Kelisa dekat sini, petang tadi.

Kejadian jam 3.30 petang itu, menyebabkan mangsa berusia 39 tahun cedera di tangan kiri ketika mengelak tikaman pisau isterinya berusia 29 tahun.
tikam
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal pihaknya mendapati isteri mangsa yang juga suspek merupakan warga China dikatakan telah lama tinggal berasingan dengan mangsa sejak pertengahan tahun lalu.

"Mereka berkahwin pada tahun 2014 di Thailand, namun suspek telah meminta cerai, tapi tidak dipersetujui mangsa.

"Ini menyebabkan suspek telah keluar dari rumah pertengahan tahun lalu. Mangsa telah datang ke rumah sewa suspek untuk berbincang, namun suspek enggan keluar,"katanya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan mangsa bertindak menyembur air pada pintu hadapan rumah sewa suspek.

Muhamad Zaki berkata, tindakannya itu membuatkan suspek berang lalu membuka pintu dan terus menyerang mangsa dengan pisau pemotong sayur.

"Akibatnya tangan kiri mangsa cedera ketika cuba mengelak tikaman suspek sebelum menghubungi polis.

"Polis yang mendapat maklumat telah menahan suspek dan merampas sebilah pisau pemotong sayur berukuran 27 sentimeter selain turut merampas pasport suspek,"katanya.

Sementara itu katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk mendapatkan rawatan dan suspek telah ditahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1963.

0 comment... add one now