Isnin, 2 Mei 2016

Betul Ke Rezeki Kita Ada Kaitan Dengan Isteri?

Seorang suami mengadu rezekinya asyik 'sempit'.

"Semua serba tak cukup, terasa dunia ini sempit. Dah usaha bermacam-macam, semua cara sudah dibuat. Hati pun resah dan rasa nak marah saja. Kenapa ya ustaz?" soalnya.

"Ibu bapa abang masih ada lagi?" tanya saya.

"Mak dan ayah dah tiada," balasnya.

"Abang ada isteri tak?"

"Ada ustaz, saya ada tiga orang anak," katanya.

"Saya beri 2 kunci rezeki dan ketenangan datang dalam hidup kita. Sayang dan jaga isteri dengan baik, jaga solat. Sebelum mula bekerja, solat dua rakaan. Nak buat apa-apa pun. minta pada Allah dulu," nasihat saya padanya.

Dia diam termenung mendengar jawapan saya itu.

"Ustaz, betul ke rezeki kita ada kaitan dengan isteri?" soalnya.

"Bagaimana keberkatan nak datang dalam hidup kita jika menyedihkan dan menyakitkan orang yang setia dan berkorban tinggalkan keluarganya untuk bersama kita? Sangkaan dan isi hati mereka, doa yang kuat untuk kita. 

"Silaturrahim asbab rezeki terbesar. Allah janji rezeki dan umur berkat dengan jaga silaturrahim dan menyambungkannya.

"Jika kita sakitkan kucing atau tipu kucing pun kita akan rasa hidup ini tidak tenang kerana kita sedang buat salah. Inikan pula isteri kita?" jelas saya dan dia mengangguk setuju.

Saya lihat, dalam hidup ini semua orang yang bahagia dan berjaya bermula bila mereka bahagia bersama isteri mereka. Saat kita mula menipu, menyakitkan, menyusahkan pasangan, hidup jadi serba tak kena.

"Cuba abang mulakan dengan berbuat baik terhadap isteri. Mencintai dan menghargainya," itulah pesanan terakhir saya padanya sebelum berpisah.

Selang beberapa minggu kemudian, dia datang berjumpa dengan saya semula.

"Ya Allah, rezeki saya bertambah. Semuanya jadi mudah dan lapang. Hati saya menjadi tenang bila saya memperbetulkan kesilapan saya, jaga hatinya dan menghargainya serta buat apa yang isteri suka," kongsinya dengan wajah yang jelas bersyukur sangat.

Silaturrahim membuka pintu rezeki, inikan bersama isteri kita yang tercinta. Dulu pernah seorang pekedai dia rasa kedainya dibuat orang, kena sihir. Dah buat bermacam-macam, tetapi tetap mengalami kerugian.

Dia datang berjumpa dengan saya.

"Abang ada buat buruk pada isteri tak?"

"Ye ustaz, saya tipu isteri saya. InshaAllah saya akan perbetulkan kesilapan saya," katanya.

Tidak lama kemudian, dengan izin Allah, rezekinya mencurah-curah.

Ramai orang kaya raya hidupnya menjadi sempit dan tidak tenang kerana lupa diri dan menyakitkan hati orang tersayang amanah Allah. Sebenarnya bersyukur dan menghargai ibu bapa, isteri dan anak-anak itulah rezeki yang paling besar. Isteri yang solehah sentiasa mendoakan dan menyokong suami agar rahmat Allah mencurah-curah. - Ebit Lew

Tiada ulasan:
Write ulasan