Selasa, 10 Mei 2016

Anak ‘Lembab’ Belajar Mungkin Disleksia. Ambil Tindakan Jika Ada 10 Tanda Ini

“Dah nak masuk darjah dua tapi membaca masih merangkak-rangkak. Tak tahulah macamana dia belajar di sekolah. Risau juga bila cikgu kata Aiman ada ciri-ciri kanak-kanak disleksia. Bahayakah? Apa patut dibuat ya?”
Tahukah anda, kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke atas yang masih tidak dapat mengeja dan menulis mungkin disebabkan oleh sejenis sindrom yang dipanggil disleksia.

Apakah Disleksia?

Menurut Portal Maklumat 1Klik, disleksia disebabkan oleh kerosakan pada kebolehan otak untuk menterjemahkan imej tulisan kepada kefahaman. Ia juga dipanggil sebagai sindrom “lambat baca” di kalangan kanak-kanak.
Sindrom ‘lambat membaca’ ini sebenarnya bukan satu penyakit berbahaya, tetapi kesannya boleh menyebabkan kanak-kanak ketinggalan dalam pembelajaran.
Namun, jangan terkejut kerana penghidap disleksia umumnya mempunyai tahap kecerdasan intelektual (IQ) normal atau lebih tinggi daripada kanak-kanak biasa.

10 Simptom Kanak-Kanak Disleksia

Disleksia boleh mempengaruhi seseorang dengan sangat berbeza. Malah, tahap kesukaran anak-anak semasa belajar di sekolah juga tidak sama.
Sindrom disleksia agak sukar dikenal pasti sejak kecil kerana ia tidak seperti sindrom atau penyakit lain.
Walaubagaimanapun, antara tanda dan simptom disleksia yang biasa dikesan pada anak-anak adalah seperti berikut:
1. Lambat bercakap, ada yang menganggapnya hiperaktif.
2. Sukar membunyikan sukukata. Sering tersilap seperti ‘kelapa’ dan ‘kepala’. Sukar menyebut sukukata yang panjang.
3. Sukar untuk mengikut arahan yang panjang pada suatu masa.
4. Menghadapi kesulitan mengenal ABC, warna, dan nombor asas.
5. Sukar menulis dengan baik. Selain tulisan yang agak buruk, anak disleksia mungkin tidak cekap dari segi kemahiran motorik. (Contoh: Mengasingkan warna, bentuk, memasukkan objek mengikut ruangnya, bermain ‘puzzle’, mengikat tali kasut, menendang bola, dsb)
6. Keliru dengan huruf yang sampir serupa seperti ‘b’ dan ‘d’.
7. Keliru dengan kiri dan kanan.
8. Sukar mengingat sesuatu mengikut turutan. (Contoh: turutan hari Isnin-Ahad,  huruf A-Z,  nombor 1-10, bulan Januari – Disember.)
9. Berasa mudah penat kerana terpaksa menggunakan konsentrasi dan tenaga yang tinggi  tetapi masih sukar memahami sesuatu perkara melalui teks.
10. Lebih berminat dengan aktiviti ‘hands-on’, dan biasanya mempunyai IQ yang tinggi.
Kini di sekolah rendah kerajaan terdapat program LINUS (saringan literasi dan numerasi) untuk mengenal pasti pelajar yang bermasalah dalam membaca dan mengira. Melalui modul-modul ini, pelajar-pelajar disleksia akan dapat dikenalpasti.
Jika ibu bapa atau guru-guru telah mengenal pasti anak anda mempunyai ciri-ciri kanak-kanak disleksia, anda boleh berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan atau pakar perkembangan kanak-kanak (Developmental Pediatrician) untuk membuat saringan selanjutnya dan pengesahan.
Setelah itu, perbincangan dengan ibu bapa akan dibuat untuk membuat keputusan sama ada pelajar perlu didaftarkan sebagai kanak-kanak berkeperluan khas.

Adakah Sekolah Khas Bagi Kanak-kanak Disleksia Di Malaysia?

Rawatan bagi sindrom ini adalah dengan menyertai pelbagai jenis program pembelajaran khusus bagi membentuk minat mereka untuk membaca dan menulis.
Terdapat Persatuan Disleksia Malaysia yang berpusat di Kuala Lumpur telah membantu ramai kanak-kanak disleksia dari seluruh negara sejak awal penubuhannya pada tahun 1999.
Ibu bapa yang berminat menghantar anak-anak mereka yang mengalami disleksia ke pusat PDM bolehlah melayari www.dyslexiamalaysia.org.my dan menghubungi mana-mana pusat Persatuan Disleksia Malaysia yang berhampiran untuk keterangan lanjut.

Ramai Anak Disleksia Telah Berjaya

Menurut Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Puan Sariah Amin menerusi akhbar Kosmo,
“Kanak-kanak disleksia amat sensitif. Jika dimarah, mereka akan menunjukkan sikap negatif dan menjadi nakal.
“Oleh sebab itu kita tidak boleh sewenang-wenangnya memanggil mereka bodoh atau apa jua gelaran yang boleh membuatkan mereka berasa rendah diri.
“Jika mereka berterusan dilayan dengan cara begitu, maka apabila dewasa mereka akan terjebak dengan pelbagai masalah sosial,” kata Sariah yang telah 12 tahun menjadi penaung Persatuan Disleksia Malaysia.
Sebagai ibu bapa, kita perlu memberi sokongan sepenuhnya kepada kanak-kanak disleksia dalam membantunya mengatasi masalah ini.
Telah ramai tokoh yang berjaya walaupun menghadapi masalah disleksia seperti Steve Jobs, Bill Gates, Tom Cruise, Keira Knightley, Lewis Hamilton (pelumba F1), Orlando Bloom, peninju terkenal Muhammad Ali, dan Walt Disney. Ini membuktikan mereka berpotensi untuk berjaya walaupun dengan kondisi ini.

Tiada ulasan:
Write ulasan