Amir Jahari Dapat Ilham Buat Lagu Dari Mimpi

PETALING JAYA: Penyanyi Amir Jahari memberitahu dia mendapat ilham menghasilkan beberapa buah lagu termasuk single baharunya berjudul Ingga adalah menerusi mimpi.

Amir, 24, berkata, dia akan merakam melodi tersebut sejurus sahaja terjaga daripada tidur agar tidak terlupa.

"Kebanyakkan ilham melodi dalam album kedua yang bakal dilancarkan nanti saya dapat ketika saya mimpi seperti lagu Ingga ada part melodi yang saya ambil ketika saya bermimpi sedang memandu di atas awan bersama isteri.

"Selepas bangun daripada tidur itu saya terus merakamnya di telefon. Pada saya ingin cari melodi itu mudah, di mana-mana sahaja boleh dapat cuma untuk mencari menyentuh hati sahaja sukar," ujarnya kepada mStar Online.

Amir berkata demikian ketika ditemui selepas memperdengarkan lagu baharunya berjudul Ingga pada majlis previu lagu-lagu terbitan Paranormal Records yang diadakan di Ativo Plaza, di sini, Isnin.

Antara lagu yang diperdengarkan ialah Langkah Baharu nyanyian Lea Ismail, Tanda Tanya (Aishah Aziz), Keamatan (Urang Kita) dan Banana Love (NaddySushi).

Dalam pada itu, Amir berkata, lagu dalam dialek Sarawak itu mempunyai keistimewaan tersendiri apabila ia mendapat inspirasi daripada alat muzik tradisional Sarawak iaitu Sape.

"Lagu ini ditulis sepenuhnya dalam bahasa Sarawak dan mendapat inspirasi muzik tradisional Sarawak iaitu Sape dan Ingga membawa maksud menyampah.

"Saya harap lagu ini dapat diterima seperti mana mereka menerima lagu-lagu berdialek Negeri Sembilan atau Kelantan," ujarnya.

Sementara itu, Amir yang kini bergerak sendiri memberitahu dia lebih selesa dan tidak terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan sesebuah syarikat rakaman.

Katanya, kebanyakkan syarikat rakaman meletakkan beberapa syarat yang mengubah identitinya menjadi penyanyi yang lebih nilai kormersial.

"Selepas tamat kontrak dengan sebuah syarikat rakaman saya ditawarkan untuk bernaung dengan beberapa label besar, tapi saya lihat terlalu banyak syarat.

"Mereka mahu tukar imej saya, tukar genre dan pelbagai lagi yang sukar untuk dipersetujui," ujarnya.

0 comment... add one now