Isnin, 2 Mei 2016

Akim & The Majistret Teruja Dapat Kerjakan Umrah

KUALA LUMPUR: Pemenang trofi Personaliti Terunggul Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016), Akim & The Majistret teruja dengan hadiah kemenangan diterima mereka iaitu tajaan mengerjakan umrah setiap seorang pada bulan Ramadan selama 14 hari 13 malam sumbangan Simply Umrah Travel Services Sdn Bhd.

Ketua kumpulan itu, Zimi berkata, ia hadiah paling bermakna dalam karier mereka tambahan pula berpelaung mengerjakan Umrah pada akhir Ramadan.

"Alhamdulillah hadiah yang cukup bermakna dan tidak sangka pula kami semua satu kumpulan berpeluang mengerjakan Umrah bersama-sama.

"Bukan mudah untuk mendapat tempat melakukan ibadah di Mekah pada akhir Ramadan dan kami anggap ini sebagai rezeki kami.

"Terima kasih kepada pihak penganjur dan penaja yang sudi memberikan hadiah cukup istimewa itu," katanya kepada mStar Online.

Zimi ditemui selepas berlangsungnya APO 2016 yang diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini, Sabtu lalu.

Akim & The Majistret turut dianggotai oleh Akim, Freddy, Gjie, Faoq, Afiez dan Wan.

Selain Personaliti Terunggul, Akim & The Majistret juga membawa pulang trofi menerusi kategori Grup Pilihan Online.

Kemenangan itu membolehkan mereka menerima hadiah berupa rantai mutiara sumbangan Rafflesia bernilai RM20,000, hadiah sumbangan Dnars, jam tangan sumbangan Ice Watch dan pakej penginapan sumbangan Hotel Dorsett Putrajaya.

Dalam pada itu, Akim yang tidak dapat menghadiri acara berkenaan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada peminat mereka atas sokongan dan undian bagi membolehkan mereka bergelar pemenang dua kategori pada malam itu.

Malah kata Akim, kemenangan tersebut memberinya lebih semangat untuk menghasilkan lagu lebih berkualiti pada masa akan datang khas buat peminat mereka.

"Syukur Alhamdulillah atas kemenangan ini dan ia adalah hasil usaha peminat yang mengundi selain doa ibu bapa dan rakan-rakan.

"Kami terus berusaha untuk menghasilkan lebih banyak karya yang lebih baik pada masa akan datang," katanya menerusi video di Instagram.

Sementara itu, Zimi berkata, pada awalnya mereka tidak mengetahui kumpulan itu tercalon dalam APO 2016 tetapi dimaklumkan oleh peminat mereka mengenai berita berkenaan.

Kata Zimi, meskipun mereka tidak banyak membuat promosi namun peminat mereka memainkan peranan tersebut dan tidak menyangka usaha mereka sehingga membolehkan Akim & The Majistret menerima pengiktirafan tersebut.

"Kami tidak tahu mengenai pencalonan ini sebaliknya peminat yang maklumkan kepada kami dan apabila mendapat tahu sudah tentu kami berasa teruja.

"Peminat kami memang terbaik kerana berusaha tanpa jemu mengajak peminat mengundi dan jasa mereka terlalu besar," jelasnya.

Anugerah ini dianjurkan buat pertama kalinya oleh Star Media Group Berhad di bawah dua entiti berbahasa Malaysianya iaitu mStar Online dan stesen radio Suria FM dan diperhebatkan oleh Dnars selaku penaja utama.

Ia membabitkan 18 kategori termasuk satu kategori utama.

Bertemakan 'Glam Digital' ia bertujuan mengiktiraf selebriti dalam pelbagai bidang melalui medium media sosial.

Tiada ulasan:
Write ulasan