Usia 45 Tahun Saya Baru Belajar Alif, Ba, Ta – Rosyam Nor

PENGARAH dan pelakon senior terkenal, Datuk Rosyam Nor tidak malu mengaku dirinya tidak pandai mengaji sehinggalah pada usia 45 tahun serta hanya menghafal tiga surah iaitu al-Fatihah, an-Nas dan al-Ikhlas.
“Saya baru tahu selama 45 tahun usia saya ini, saya baca ‘bismillah’ pun salah.
“Saya tak malu mengaku ini di hadapan anda semua. Biarlah saya malu dengan anda daripada saya malu dengan ALLAH SWT.
“Ketika ini saya rasa seorang Rosyam Nor tertunduk malu dan sedih sebab tidak tahu mengaji.
“Kadang-kadang bila jadi imam di rumah, anak-anak saya pun tahu surah apa saya akan baca. Sebab itu saya tak berlakon cerita agama,” katanya.
Menurut Rosyam, dia terkesan dan menyedari dirinya tidak pandai mengaji pada saat pemergian ayahnya ke rahmatulah.
Kata Rosyam, hidayah untuk belajar mengaji datang buatnya ketika penggambaran akhir filem KL Gangster 2, melalui seorang ustaz.
“Semasa penggambaran itu, ada seorang insan muncul dan pada awalnya saya anggap beliau hanya seorang peminat biasa. Kemudian beliau minta nombor telefon dan setiap minggu beliau hubungi saya ajak berjumpa.
“Selama empat bulan beliau hubungi saya sampai saya rimas dan akhirnya saya setuju untuk bertemu di kawasan rumah saya,” katanya.
Bermula dari situ, Rosyam memberitahu hatinya terdetak untuk mengaku tak pandai mengaji dan meminta ustaz tersebut mengajarnya dengan syarat tidak memaklumkan hal itu kepada orang lain kerana malu.
“Ini masalah paling besar bila dah tua.Tapi jangan kita malu. Alhamdulillah usia 45 tahun saya mula belajar mengaji mula dengan alif, ba, ta,” kata Rosyam yang akhirnya berjaya khatam al-Quran di hadapan Kaabah pada tahun lalu pada usia 48 tahun.

0 comment... add one now