Status 'Alhamdulillah...' bukan kerana isteri hamil - Fizo Omar

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fizo Omar, berharap tiada pihak yang tersalah sangka dengan status 'Alhamdulillah...' dimuat naik ke laman Instagram miliknya, baru-baru ini. Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 30, berkata, beliau terkejut kerana gara-gara status berkenaan, ramai pengikutnya menganggap isterinya, Mawar Abdul Karim, sudah pun hamil.

"Ramai yang salah faham dengan status berkenaan. Sebenarnya, status terbabit adalah untuk menyatakan kesyukuran saya dengan segala rezeki perniagaan kami.

"Saya terkejut juga dengan komen yang ditinggalkan di laman sosial. Tiba-tiba saja orang ucap tahniah. Tidak mengapa, saya menganggap ia sebagai doa buat kami," katanya kepada BH Online. Terdahulu, Fizo memuat naik status 'Alhamdulillah...' dan perkara itu membuatkan ramai yang menganggap isterinya Mawar sudah pun berbadan dua. Fizo dan Mawar berkahwin pada November 2013.

Sementara itu, Fizo berkata, sejak restorannya, Fizomawar, di Bangi menjadi isu gara-gara seorang penulis blog mengkritik perkhidmatan yang kurang dikatakan memuaskan, ia banyak memberikan kesan positif terhadap perniagaan terbabit.

Akui Fizo, walaupun kurang senang dengan penulisan blogger berkenaan, namun beliau mengambil pendekatan menjadikan ia sebagai perkara positif dan menambah baik segala kekurangan dalam perniagaannya itu.

 "Biasalah, siapa yang tidak marah apabila perniagaan kita dikritik, kerana bukan senang untuk seseorang membuka sebuah kedai makan. Tetapi apabila difikirkan balik, ada baiknya juga kritikan itu. Saya ambil setiap komen negatif dengan menambah baik perkhidmatan di restoran kami.

"Alhamdulillah, kerana isu berkenaan juga Fizomawar tidak henti-henti menerima kunjungan pelanggan. Saya anggap ia perkembangan yang bagus," tuturnya. Kata Fizo, beliau dan isteri kini merancang untuk membuka sebuah lagi cawangan Fizomawar di sekitar ibu kota.

0 comment... add one now