‘Saya mencuri sebab tak sanggup lihat anak lapar’ – Pirdaus

ETALING JAYA: Penganggur yang diberkas mencuri makanan di pasar raya Tesco di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pada Mac lalu, mendedahkan dia berbuat demikian kerana tidak sanggup melihat anaknya menangis kelaparan.
Mohd Pirdaus Azizan, 31, dilaporkan mStar Online hari ini sebagai berkata, hatinya menjadi hiba selepas anak lelakinya berumur empat tahun itu menangis kelaparan.
Katanya, pada hari kejadian pada 9 Mac lalu, dia bersama tiga anaknya itu sedang berada di rumah dan seorang daripada anaknya mula menangis akibat lapar.Tesco-Mohd-Pirdaus-Azizan
“Kami berjalan-jalan dan lalu di pasaraya Tesco Alma. Oleh kerana saya tak cukup duit dan tidak mahu mengemis atau membebankan orang lain, saya hanya berjalan masuk ke dalam dan memasukkan beberapa makanan ke dalam beg saya.
“Apabila saya ditangkap oleh pengawal dan disoal siasat oleh pengurus kedai, saya mengaku kesalahan saya dan menunjukkan laporan perubatan isteri saya yang saya bawa bersama di dalam beg setiap hari.
“Pengurus itu telah menghubungi polis tetapi selepas memeriksa latar belakang saya, dia membatalkan laporan polis itu, sebaliknya menawarkan saya pekerjaan di pasaraya besar itu.
“Dia juga memberikan saya wang tunai,” kata Mohd Pirdaus menerusi temu bual pertama dengan media selepas kejadian itu mendapat perhatian seluruh negara.
Dia mempunyai tiga anak, dua lelaki dan seorang perempuan. Anak perempuannya yang berusia tujuh tahun masih belum ke sekolah dan dua anak lelaki berusia empat dan dua tahun.
“Sebelum ini kehidupan kami berjalan dengan baik kerana saya bekerja di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Selepas kerajaan mengumumkan penangguhan program tersebut, saya hilang pekerjaan.
“Saya mendapat kerja sebagai tukang kimpal di sebuah kilang keluli dan dibayar RM30 sehari, tetapi pendapatan saya tidak stabil.
“Oleh kerana tidak mampu membayar sewa rumah yang tinggi, saya meninggalkan kerja saya di sana dan berpindah ke rumah flat kos rendah abang ipar saya di Taman Impian Indah,” katanya.
Mohd Pirdaus berkata, keutamaannya sekarang adalah untuk menghantar anak perempuannya ke sekolah dan akan mula bekerja di pasaraya besar itu apabila sudah bersedia.
Kisah lelaki terbabit mendapat perhatian termasuk lebih daripada 10 agensi berita antarabangsa selepas ditangkap akibat mencuri barangan makanan berjumlah RM27.
Berikutan itu, pengurusan Tesco memilih untuk tidak mendakwa, sebaliknya menawarkan pekerjaan dan langkah itu dipuji banyak pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

0 comment... add one now