Sabtu, 16 April 2016

Rumah Bakal Di Lelong, Duit Makin Kurang

JOHOR BAHRU – "Sejak beberapa bulan ini saya sekeluarga mengharungi situasi mencabar apabila kerap terputus bekalan barangan dapur hingga terpaksa makan mi segera sahaja," kata Ahmad Abdullah, 44.
Sedih rumah akan dilelong
Ahmad berkata, kehidupannya sekeluarga berubah selepas dia patah kaki kanan akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika pulang dari tempat kerjanya di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi berdekatan dengan Pasaraya Aeon Big, 7 Julai 2014.

Menurutnya, keluarganya juga berdepan masalah kewangan apabila rumah didudukinya sejak 15 tahun lalu di Taman Kota Masai, dikenakan tindakan lelong oleh  bank Mac lepas.

"Saya bekerja sebagai pemandu lori terlibat dalam kemalangan apabila secara tiba-tiba teksi di hadapan saya berhenti mengejut dan saya tidak dapat mengelak. Akibatnya saya mengalami patah kaki kanan di masukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) selama enam hari.

"Kemudiannya, kaki saya  dibedah empat kali untuk dimasukkan besi, namun masih belum pulih menyebabkan terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak. Saya juga diberi cuti sakit oleh pihak hospital sampai sekarang," katanya kepada Sinar Harian.

Bapa kepada lima anak berumur lima hingga 15 tahun itu memberitahu, isterinya, Salmah Rehman, 38, tidak bekerja kerana menguruskan keluarganya termasuk menghantar anak-anaknya ke sekolah.

"Akibat kemalangan itu, saya menerima tuntutan insurans dan wang bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Namun ia sudah digunakan untuk menampung kehidupan sekeluarga selama dua tahun ini termasuk membayar bil rawatan di hospital, memandangkan tempat kerja sudah tidak membayar gaji lagi dan jumlahnya kini semakin berkurang.

"Surat lelong rumah sudah diterima, memerlukan saya membayar RM16,000 dalam masa terdekat ini. Motosikal mungkin akan ditarik tidak lama lagi kerana bayaran bulanannya tertunggak. Saya terpaksa meminta bantuan anak saudara untuk menghantar ke Klinik 1 Malaysia berhampiran rumah kerana luka di kaki perlu dicuci setiap hari, selain perlu berulang-alik ke HSI setiap bulan," katanya.

Bagi  yang ingin membantu boleh menghubungi Ahmad di talian 012-7752949 atau akaun Maybank 15106316648.

Tiada ulasan:
Write ulasan