Sabtu, 9 April 2016

Rayani Air Gantung Operasi Serta Merta

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan tambang murah patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air menggantung operasinya berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu diberitahu oleh pemilik syarikat terbabit, Ravi Alagendrran kepada mStar Online pada Sabtu.

Menurutnya, pergantungan itu akan berkuat kuasa sehingga ke satu tempoh yang akan dimaklumkan semula.

"Ingin dimaklumkan bahawa kita telah menggantung operasi berkuat kuasa serta-merta pada 8 April 2016 sehingga dimaklumkan kemudian.

"Ia adalah sebahagian daripada pelan penstrukturan semula syarikat. Kita akan beroperasi semula selepas melakukan penstrukturan semula," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas sebagaimana lapor mStar Online.

Ravi juga berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara yang sama kepada pegawai syarikat tersebut menerusi emel.

Berdasarkan emel itu, Ravi meminta pegawainya supaya  mengarahkan bahagian masing-masing menghentikan operasi dan 'mengira semula aset syarikat'.

"Semua bayaran balik dan pertanyaan berkaitan dengan penumpang yang telah ditempah awal, perlu dipanjangkan kepada info@rayaniair.com atau hubungi pusat panggilan di +603-27214925 (beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang)," ujar Ravi.

Sebelum ini, keratan emel terbabit menjadi viral di media sosial.

Selain itu, mStar turut melaporkan bahawa Ravi turut mengesahkan bahawa Rayani Air terpaksa membatalkan penerbangannya berikutan mogok yang dilancarkan juruterbangnya. -

Tiada ulasan:
Write ulasan