Selasa, 5 April 2016

Pelakon Benjy Bebas Tuduhan Miliki Dadah

MUAR: Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy hanya mampu memanjatkan kesyukuran selepas Mahkamah Majistret di sini, melepas dan membebaskannya terhadap pertuduhan pindaan memiliki dadah seberat 28.99 gram, Mac tahun lepas.

Majistret Muhammad Hidayat Wahab membuat keputusan itu selepas berpuas hati terhadap pembelaan tertuduh yang berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun, rakan Benjy, Raja Shariff Hidayatullah Raja Shariffuddin, yang juga orang kena tuduh (OKT) pertama, diarah membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mahkamah menetapkan 3 dan 5 Mei ini, untuk Raja Shariff Hidayatullah membela diri. 

Benjy, 38, dan Raja Shariff Hidayatullah, 28, didakwa atas tuduhan pindaan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 28.99 gram pada 1.40 pagi, 27 Mac tahun lalu ketika sekatan jalan raya di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Pagoh-Muar, di sini.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pada 8 April tahun lepas, Benjy dan rakannya didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.32 kg.  

Bagaimanapun pihak pendakwaan pada Selasa memohon kepada mahkamah untuk meminda pertuduhan itu daripada mengedar kepada memiliki dadah.

Dalam penghakimannya, Muhammad Hidayat berkata antara asas yang mendorong keputusan terhadap Benjy ialah pihak pendakwaan gagal menyelitkan elemen pengetahuan dan kawalan dalam pengendalian kes.

Selain itu, beliau berkata terdapat bukti kukuh menyatakan dadah yang dijumpai di dalam kereta dipandu Raja Shariff Hidayatullah itu, bukan milik Benjy dan dia hanyalah penumpang kenderaan terbabit.

"Berdasarkan keterangan beberapa saksi, OKT 2 (Benjy) juga didapati tidak pernah menggunakan kenderaan berkenaan, malah rakannya juga memberitahu polis dadah itu adalah miliknya.

"Jadi ini membuktikan tertuduh langsung tidak menyedari kewujudan dadah tersebut," kata Muhammad Hidayat.

Benjy dan Raja Shariff Hidayatullah diwakili peguam Khalid Yusoff, FarhanRead dan Mohd Faiz Iskandar Hamzah manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Johor, Azfahanim Rajaluddin.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Benjy berkata beliau bersyukur dengan keputusan itu, walaupun menempuh pelbagai cabaran.

"Saya bersyukur mahkamah akhirnya mencapai keputusan. Pada anak, baba (ayah) sayangkan Firdaus...kepada orang saya sayang, isteri, alhamdulillah," katanya. -Bernama

Tiada ulasan:
Write ulasan