Isnin, 25 April 2016

Janna Nick Tak Nak Berlakon Dengan Saya, Sebab Saya Kaku - Ruhainies

DILABEL sebagai kayu sehingga nama digugurkan daripada senarai pelakon yang sepatutnya membintangi sebuah filem bukan satu perkhabaran yang senang untuk dicerna oleh dramatis baharu bernama Ruhainies.

Sementelah, pengguguran namanya itu dikatakan ada kaitan dengan keengganan seorang pelakon wanita yang enggan bergandingan bersamanya di dalam sebuah naskhah.

Segalanya bermula apabila ruangan pojok sebuah akhbar tempatan menerbitkan gosip mengenai seorang pelakon wanita yang dikatakan telah menghasut seorang produser supaya mengeluarkan nama Ruhainies daripada senarai pelakon yang terlibat dalam penggambaran sebuah filem terbaharu.

Selepas gosip tersebut bertebaran, banyak jari menunding ke arah pelakon baharu, Janna Nick yang kebetulan turut membintangi judul filem yang sama.

Biarpun beberapa kali diminta mengulas mengenai perkara itu, Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas secara terbuka telah menyatakan kemaafannya terhadap pelakon tersebut dan mendakwa tidak pernah mendedahkan perkara berkenaan kepada umum.

Pada masa yang sama, Ruhainies juga mengakui tidak mahu persengketaan tersebut terus berlanjutan.

Namun, sangkaan wanita berusia 23 tahun itu jauh meleset. Terbaharu, Janna telah memuat naik sebuah video di Instagram dan meminta Ruhainies supaya berhenti daripada membusukkan namanya.

Tindakan Janna sedikit sebanyak menguatkan dakwaan bahawa dia adalah pelakon yang bertanggungjawab di sebalik polemik yang berlaku.

Lebih parah lagi, tindakan Janna itu juga telah menyebabkan peminat kedua-dua mereka berdua ‘naik hantu’ sehingga mereka mula bergaduh dan bertelagah di laman sosial.

Berkesempatan menghubungi pelakon yang popular dengan drama Hello Mr. Perfect itu semalam, Ruhainies ternyata masih terkejut dengan tindakan Janna.

Ujar adik kepada pelakon Risteena Munim itu, dia tidak mengerti apa yang ingin disampaikan Janna, memandangkan rakaman yang sama telah dikirimkan kepadanya beberapa jam sebelum video tersebut dimuat naik ke laman sosial.

“Janna terlebih dahulu mengirimkan video yang sama kepada saya. Jika dia menganggap perkara tersebut sebagai sesuatu yang peribadi, mengapa dia perlu menghebohkannya di laman sosial?

Mungkin dia seronok melihat peminat kedua-dua belah pihak bergaduh. Ada antara peminatnya yang terus-terusan mengutuk saya. Saya sendiri keliru dengan tindakannya itu,” ujar Ruhainies membuka bicara.
Tambah Ruhainies, dia juga tertanya-tanya tentang tujuan Janna mengeluarkan kenyataan berbentuk penafian kepada pihak media, sedangkan pelakon Syurga Nur itu telah menghantar mesej permohonan maaf selepas memburukkan namanya di hadapan produser.
“Apabila wartawan menghubungi Janna, saya sedari bahawa dia menafikan pelakon wanita yang dinyatakan dalam ruangan pojok tersebut adalah dirinya.
“Selepas beberapa hari gosip tersebut tersebar, dia sendiri menghubungi saya dan meminta maaf. Dia mengakui bercakap buruk mengenai saya kepada produser, pelakon dan kru.
“Sejujurnya, saya sengaja tidak mahu menjawab permohonan maafnya itu. Cukuplah sekadar saya memberitahu pihak media bahawa saya sudah memaafkannya,” luah Ruhainies dalam nada terkilan.

Pelakon genit itu turut menjelaskan alasan keengganannya menjawab permohonan maaf daripada Janna. Katanya, semua itu berpunca daripada kekecewaan selepas namanya digugurkan daripada filem tersebut.
“Itu merupakan tawaran filem pertama untuk saya. Hati saya masih sedih dan kecewa dengan apa yang telah berlaku.
“Walaupun berkali-kali dia cuba meminta maaf, peluang saya untuk berlakon filem tetap telah hilang,” ujar Ruhainies lagi.
Ditanya mengenai punca kemelut yang melanda mereka berdua, Ruhainies berkata, dia sendiri tidak menyedari bagaimana perkara tersebut terjadi.
Namun, seingat Ruhainies, keengganan Janna bergandingan lagi dengannya mungkin disebabkan oleh pengalaman sama-sama terlibat dalam sebuah drama bersiri sekitar setahun lalu.
“Menurut apa yang disampaikan, Janna menolak untuk berlakon dengan saya dalam filem tersebut kerana lakonan saya yang kaku.
“Katanya, sewaktu berlakon dalam drama Si Montel, saya banyak membuang masa kerana tidak tahu berlakon.
“Saya tidak menolak kenyataan tersebut. Benar, saya masih baharu ketika itu. Banyak yang perlu dipelajari tetapi tidaklah sehingga saya membuang masa orang lain. Komitmen yang diberikan masih sama dengan pelakon lain,” katanya lagi.
Begitupun, tambah Ruhainies, Janna pernah mempertikaikan pencapaiannya apabila dia diberi peluang bergelar pelakon utama pada awal kemunculannya dalam bidang lakonan.
“Janna pernah bertanya kepada saya, bagaimana saya mudah mendapat watak utama sedangkan dia pula perlu menunggu selama lima tahun.
“Namun, saya tidak pernah mengambil hati kerana faham dengan cara dan tingkah lakunya yang agak kasar. Bagi saya, itu semua rezeki. Jika ditanya kepada mana-mana pelakon sekalipun, siapa yang tidak mahu menggalas peranan sebagai watak utama,” tegas Ruhainies.

Tiada ulasan:
Write ulasan