Gosip Cinta Bersama Umi Nazeera Adalah Cerita Lama

Dua tahun lalu nama pelakon Aeril Zafril dan Ummi Nazeera pernah dikaitkan dengan gosip tetapi mereka cukup profesional.

Aeril atau Suhairil Sunari, 28, kini berganding dengan Ummi, 26, dalam drama Patahnya Sebelah Sayap yang akan mengisi slot Samarinda di TV3 tidak lama lagi. Drama 15 episod arahan Ayie Mustafa itu turut dijayakan Izzue Islam dan Normah Damahuri.

Aeril ketika ditemui di majlis hiburan baru-baru ini berkata, dia dan Ummi bersikap profesional atas tuntutan karier mereka sebagai pelakon.
“Bagi saya, cerita gosip yang pernah terpalit pada kami dulu sudah berlalu. Apatah lagi ia dakwaan palsu yang tidak berasas.

“Sebagai pelakon, kami komited pada tanggungjawab melakonkan watak diberi dengan berkesan dan ternyata saya mahupun Ummi, tiada masalah dalam bekerjasama.

“Apa yang pasti, berani kerana benar. Kami berdua tidak bersalah dan dakwaan gosip dilemparkan itu pastinya daripada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Aeril berkata dia dan Ummi selesa bekerjasama dan mereka sama sekali memahami tuntutan karakter dilakonkan dalam drama Patahnya Sebelah Sayap itu.

Memilih muncul dengan imej jambang dan bermisai, Aeril juga dikaitkan ada iras karakter Wolverine lakonan Hugh Jackman dalam filem X-Men.

Bapa dua anak hasil perkongsian hidup dengan pelakon Wawa Zainal itu akui tidak sedikit pun ambil serius dengan persamaan iras mukanya yang dikaitkan ada persamaan dengan selebriti lain.

“Terpulanglah pada apa saja tanggapan orang. Bagi saya, ia perkara biasa kerana sebelum ini ada yang mengaitkan saya memiliki iras wajah pelakon Syafie Naswip.

“Saya tidak terasa apa-apa pun dengan tanggapan dibuat itu. Saya sentiasa memilih dengan yakin untuk tampil menjadi diri sendiri,” katanya.

Bahagia dengan kehidupannya kini bersama isteri dan dua anak, Aeril bersyukur kehadiran Ahmad Fakharuddin Attar, 2, dan Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa yang kini berusia lapan bulan melengkapkan hidupnya sebagai bapa.

“Kini meskipun agak sibuk dengan jadual berlakon tetapi keluarga adalah keutamaan saya. Masa bersama isteri dan anak penting buat saya.

“Melihat mereka membesar depan mata sangat membahagiakan kami. Ia amanah besar Allah buat kami yang harus diasuh dengan baik,” katanya.

Mengenai karier lakonan isterinya, Aeril berkata dia tidak pernah menghalang atau meminta Wawa bersara sebagai pelakon.

“Wawa masih lagi aktif berlakon dan ada juga tawaran diterimanya. Cuma memandangkan anak pun sudah dua orang, komitmen dengan keluarga itu didahulukan.

“Tambah pula Attar dan Hayla masih kecil dan memerlukan perhatian penuh. Jadi, sebagai ibu Wawa lebih selesa mengurus sendiri anak kami,” katanya.

Aeril berkata, sebagai ketua keluarga dia tetap memberi kebebasan kepada isterinya untuk membuat keputusan terutama membabitkan karier lakonan.

“Anggap saja Wawa kini dalam tempoh berehat seketika. Ini kerana atas permintaan Wawa sendiri untuk memberi tumpuan dan fokus pada penjagaan anak.

“Wawa sekarang sangat seronok menghabiskan masa bersama anak kerana baginya ia kenangan amat bermakna dan cukup indah.

“Justeru, Wawa tidak mahu melepaskan peluang itu. Hubungan anak juga semestinya lebih rapat dengan ibu mereka,” katanya.

Menurut Aeril, tidak hanya menguruskan anak tetapi Wawa juga sudah mula membabitkan diriya dalam bidang perniagaan untuk pendapatan tambahan keluarga.

Pun begitu, lakonan terbaru Wawa kini dapat disaksikan dalam drama Duda Terlajak Laris mengisi slot Akasia di TV3, jam 7 malam.

Drama adaptasi novel popular 28 episod itu menggandingkan Wawa dengan Zara Zya dan Idris Khan sebagai teraju utama.

0 comment... add one now