Jika ayat-ayat di atas mahu dilontarkan, itu alasan biasa sesebuah program yang baru memulakan siaran. Iklan sebelum ini nampak seola-olah program Gempak Superstars seperti akan mencipta kelainan, berbeza dan banyak impak kepada industri.

Namun, apa yang dihidangkan pada episod pertama sangatlah mengecewakan. Kalau beginilah tahap program hiburan tempatan, memang eloklah mendapat kecaman, bertalu-talu, seperti yang kita tatap dalam banyak laman sosial. Bermula daripada pengacara hinggalah kepada peserta, pendek kata, semuanya serba tidak kena.

Pengacara program Sharnaaz Ahmad dan Scha Al Yahya nampaknya seperti tidak bersedia dan terlalu bergantung pada teks pengacaraan. Kalau pada minit awal tidak mengapa, ini sampai ke akhir program asyik fokus pada kad yang dipegang, sungguh tidak profesional.

Rasanya lebih baik kalau tugas itu diberikan kepada pelakon lain yang benar-benar boleh mengacara, bukan popular semata-mata. Sekurang-kurangnya penonton tidaklah tertekan dengan gelagat pengacara, sementelah kecewa dengan persembahan ‘memilukan’.

Bagi peserta, kita faham kalau peserta yang juga pelakon ini tidak mampu menyanyi, tetapi tahap nyanyian semua peserta tiada yang istimewa. Seorang demi seorang menampilkan nyanyian yang boleh di nilai sebagai sumbang. Sehinggakan rasa keliru, apa tujuan sebenar program ini?

Melihat kepada usaha setiap peserta, nampak mereka seperti bersungguh-sungguh, tetapi akhirnya ditertawakan oleh penonton yang hadir. Apakah mereka memang mahu tampil hanya semata-mata untuk dikritik? Itu perlu dijawab. Mungkin itu yang ingin ditawarkan kepada penonton iaitu gelagat pelakon menyanyi untuk ditertawakan. Sungguh kasihan!

Kalau benar mahu ambil pelakon menyanyi, carilah yang boleh menyanyi dengan betul atau sekurang-kurangnya sedap telinga mendengar. Semua yang berada dalam program itu nampak terdesak. Produksi nampak terdesak untuk menawarkan hiburan kepada penonton.

Peserta pula nampak terdesak untuk menyertai pertandingan biarpun ia kelihatan memalukan diri. Minggu pertama, banyak perkara yang tidak kena. Minggu kedua, jika masih sama, maaf cakap terpaksa mencari program hiburan lain yang jauh lebih bermutu dan bermanfaat untuk ditonton.