Ahad, 3 April 2016

Forteen Tiada Masalah Tanpa Izzue Islam

Ketiadaan penyanyi utama tentunya satu masalah dalam berkumpulan tetapi tidak bagi Forteen. Kesibukan Izzue Islam dalam lakonan dan menguruskan perniagaan bersama isteri merangkap pengurusnya, Awin, membuatkan dia sering tidak dapat memberi komitmen dalam beberapa acara.
Bagaimanapun ia langsung tidak menimbulkan masalah buat anggota lainnya, Muhammad Ridzuan Sharifuddin (One), Mohamad Arif Ameerais Azhar (Ameer) dan Saiful Ridzuan Abdul Hamid (Ariz Lufias).
Siapa sangka, kumpulan yang popular dengan lagu Berdua Bersatu itu kekal bersama selama lima tahun. Mereka meraikan ulang tahun pada 21 Mac lalu.
Menjelaskan perkara itu, Aris akui perkara itu dipersetujui dari awal sebelum Forteen ditubuhkan. Malah pihak pengurusan dan syarikat rakaman KRU Music juga sedia maklum perkara itu.

Jelas Ariz, soal tidak puas hati terhadap Izzue tidak pernah timbul dalam kalangan mereka malah menegaskan perkara itu tidak mungkin akan berlaku.

“Hubungan kami sudah seperti saudara kandung dan kami sangat rapat. Lagipun sekiranya Izzue tidak dapat menyertai aktiviti Forteen, ia akan dimaklumkan lebih awal.

“Jadi kami sendiri tahu apa yang harus dilakukan sekiranya Izzue tiada,” katanya ketika ditemui sewaktu menjayakan Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro Bersama Yeo’s Yeogurt di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 3 (MPK3), Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Kehadiran Izzue atau Mohammad Izzul Islam Mazlan dalam persembahan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Harian Metro dianggap satu bonus buat peminat Forteen.

Kata Ariz, sewaktu Forteen mahu ditubuhkan Izzue sendiri memberikan terma bahawa dia mungkin tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Forteen kerana harus mengimbangkan dengan kerjaya lakonan dan perniagaan diusahakan.

“Semua pihak bersetuju dengan perkara itu termasuk syarikat rakaman. Jadi sekiranya Izzue tidak dapat menyertai beberapa aktiviti atau persembahan, tidak perlu ia hendak dijadikan isu.

“Peminat setia Forteen juga tahu perkara ini. Apabila Izzue tidak bersama kami, mereka faham. Kalau hendak kata ada antara kami tidak berpuas hati apabila Izzue tidak bersama dalam beberapa aktiviti atau persembahan membabitkan Forteen, rasanya sudah lama kami berpecah.

“Tapi sudah lima tahun kami bersama dan 21 Mac lalu kami meraikan sambutan ulang tahun penubuhan Forteen. Dalam tempoh itu, tidak pernah sekali pun kita dengar anggota Forteen bergaduh antara kami sebab tidak puas hati,” katanya.

Ameer pula menegaskan, jarang Izzue tidak bersama mereka dan hanya membabitkan beberapa acara.
Katanya, sekiranya Izzue ada bersama Forteen, dia akan memberi komitmen penuh.

“Malah ada perkara dia akan membantu anggota lain bagi memastikan persembahan dijayakan menjadi menarik,” katanya.

Ia jelas terbukti sepanjang Izzue menjayakan Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro di Kuantan. Walaupun kepenatan kerana terikat dengan jadual kerja di Kedah sehari sebelumnya dan terus bergegas ke Kuantan pada malam konsert berlangsung, pelakon dan penyanyi itu sedikit pun tidak menunjukkan riak penat.

Bukan itu saja, apabila hujan turun dan penonton cuba lari sewaktu Radhi OAG mahu menyanyi, Izzue mengajak anggota Forteen yang lain keluar dan berada di hadapan pentas supaya persembahan dapat diteruskan dan mereka yang membanjiri Padang MPK3 tidak beredar.

Izzue turut menghargai orang sekeliling yang membantunya seperti mengucapkan terima kasih kepada bintang Akademi Fantasia 2015, Syamel yang menggantikan tempatnya sewaktu sesi ‘sound check’ dijalankan.

sudah seperti abang kepada kami. Walaupun ada ketika tidak bersama, dia tetap mengambil berat dan bertanya bagaimana perjalanan aktiviti atau persembahan yang kami jayakan. Malah dia akan memohon maaf berkali-kali kepada kami andai tidak dapat bersama.

“Bukan itu saja, dia mengambil berat kehidupan peribadi kami. Malah Izzue juga orang yang bertanggungjawab membawa saya dan Ariz berlakon di pentas teater dan membintangi Ombak Rindu,” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan