Fizo Omar Kecewa Wardina Komen Terlalu Negetif, Tegur Dengan Baik

Baru-baru ini, tersebar di laman sosial satu klip video berdurasi 16 saat yang memaparkan pelanggan sanggup bersesak-sesak mendapatkan nombor giliran bagi pembelian koleksi terbaharu tudung Fareeda iaitu Sweet Love selepas dimuat naik oleh Fizo Omar di Facebook miliknya.
Selepas itu, Fizo dan isterinya Mawar Karim yang turut terdapat dalam video berkenaan dikecam ramai. Malah, laman Facebook Fareeda dan Fizo turut menerima ribuan komen yang kebanyakannya menghentam dan tidak berpuas hati selepas menonton video viral itu.
Orang ramai menyifatkan, cara promosi seperti itu tidak wajar dilakukan, tambahan pula pelanggan lelaki dan wanita dilihat berhimpit-himpit antara satu sama lain.
Lebih buruk, ada yang mendakwa pihak Fareeda sengaja mengupah individu tertentu untuk mendapatkan nombor giliran dan sengaja menyebarkan video bersesak-sesak itu semata-mata sebagai strategi pemasaran untuk mengaut lebih ramai pelanggan.
Terkesan dengan isu tersebut, Fizo yang merupakan Pengurus Pemasaran Fareeda tampil bersama Mawar dan juga beberapa orang kuat Fareeda Global Resources Sdn. Bhd. mengadakan sidang akhbar pada Isnin lalu bagi menjelaskan situasi sebenar yang berlaku pada hari kejadian.
“Memang mereka dibayar, tetapi bukan oleh pihak Fareeda. Mereka dibayar oleh ejen-ejen yang menjual semula tudung Fareeda. Untuk pengetahuan semua, setiap seorang hanya boleh dapat satu nombor dan membeli sebanyak empat helai. Maka, disebabkan itu ada ejen yang mengupah 10 orang barangkali untuk membeli nombor giliran.
“Jadi, tidak ada isu pihak Fareeda mengupah atau membayar mana-mana individu untuk berebut-rebut mengambil nombor giliran,” tegasnya kepada Sensasi Bintang.
Mengulas isu pelanggan lelaki dan perempuan berhimpit-himpit di dalam video sehingga ada yang mengecam Fareeda sengaja membiarkan kejadian itu berlaku, ini jawapan Fizo.
“Sangkaan kami 1,000 orang sahaja yang datang, tetapi pada hari tersebut pelanggan yang datang lebih daripada 2,000 orang. Malah, ramai yang sudah menunggu sejak dari pukul 12 tengah hari walaupun nombor giliran dikeluarkan pada pukul 5 petang. Pada awalnya mereka beratur secara baik.
“Kami juga mengasingkan pelanggan lelaki dengan wanita dan menyediakan petugas keselamatan iaitu pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta kakitangan Fareeda untuk mengawal keadaan sebelum pemberian nombor giliran dibuka.
“Sebaliknya, pelanggan mula bertindak agresif sehingga ia di luar kawalan kami. Atas sebab itu, nombor giliran terpaksa dikeluarkan awal iaitu pada puku 3 petang kerana situasi tegang itu,” jelas Fizo yang turut menolak memuat naik video berkenaan di Facebook miliknya bagi tujuan menunjuk-nunjuk.
Kata Fizo, ia sekadar sebahagian daripada strategi pemasarannya dan juga berkongsi mengenai kemeriahan jualan tudung Fareeda.
“Sebagai ahli perniagaan, saya ingin berkongsi kemeriahan sambutan koleksi terbaharu tudung Fareeda bukannya hendak bersikap riak. Kami tidak menyangka video berkenaan menjadi viral dan mengundang rasa tidak puas hati orang ramai,” ujarnya yang mengaku terkesan sedikit mengenai apa yang berlaku.
Disoal apakah langkah Fareeda untuk membendung kejadian serupa terjadi lagi selepas ini, kata Fizo, pihaknya akan menyediakan kawasan lebih besar untuk pengambilan nombor giliran.
Menurut Fizo, sistem tersebut dikatakan lebih efektif memandangkan sistem yang dilakukan sebelum ini tidak dipersetujui pelanggan Fareeda.
“Fareeda ada membangunkan website, pembelian melalui Facebook, bahkan tempahan dalam talian, namun pelanggan masih mahu mendapatkan sendiri nombor dan tudung di butik.
“Jadi, kami perlu memenuhi permintaan tersebut kerana sedar ada antara mereka seperti suri rumah yang menjadikan jualan tudung Fareeda sebagai punca pendapatan.
“Kami percaya setiap masalah yang berlaku merupakan peluang bagi kami untuk memperbaiki sistem pada masa akan datang. Insya-Allah, selepas ini kami akan buat sistem untuk mendapatkan nombor giliran di kilang Fareeda yang akan dibangunkan di Bandar Baru Bangi, Selangor tidak lama lagi. Kami juga ada merancang untuk membuatnya di stadium dan akan melakukannya secara besar-besaran dan beri keselesaan kepada semua pelanggan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fizo juga meluahkan rasa kecewa mengenai status dimuat naik seorang selebriti yang mengatakan pihak Fareeda melayan pelanggan mereka seperti ‘lembu’.
“Mengatakan pihak Fareeda melayan pelanggan mereka seperti ‘lembu’, pada saya perkataan itu kurang sesuai. Ada teguran yang lebih baik boleh diberikan. Kami terbuka menerima teguran asalkan ia tidak berbaur terlalu negatif seperti ini,” tegasnya lagi.

0 comment... add one now