Sabtu, 2 April 2016

Empat Syarat Bagi Proton Dapat Bantuan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Proton perlu memenuhi empat syarat bagi memastikannya mendapat bantuan kerajaan termasuk bantuan kewangan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan, empat syarat itu ialah mengenal pasti dengan segera rakan kongsi  strategik asing, ia mesti diuruskan secara profesional, tiada campur tangan dalam perniagaan serta langkah-langkah tegas namun perlu bagi memastikan kemampanannya untuk jangka panjang.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, beliau turut mengingatkan pengerusi baharu dan pengurusan kanan syarikat pengeluar kereta nasional itu perlu membantu ke arah meningkatkan potensi sebenar Proton dan membuka jalan ke arah masa depan syarikat yang lebih baik.

"Saya dimaklumkan ada beberapa keadaan Proton dilihat sebagai tidak profesional dalam proses membuat keputusannya.

"Kerajaan tidak boleh menutup mata kepada cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Proton. Ia mesti komited untuk memastikan pertumbuhan berterusan industri automotif domestik termasuk (melaksanakan langkah) transformasi Proton dan ekosistemnya," katanya.

Mustapa turut menyifatkan masalah yang dihadapi oleh Proton sebagai sangat mencabar kerana bahagian pasaran semasa syarikat itu dalam pasaran automotif tempatan merosot kepada 15 peratus daripada paras tertingginya sebelum ini iaitu 74 peratus pada 1993.

"Dalam bidang perniagaan ini yang amat kompetitif, (aspek) skala sangat penting dan terdapat keperluan untuk memperuntukkan sumber modal yang tinggi bagi penyelidikan dan pembangunan.

"Bagaimanapun, Proton ketika ini tidak mempunyai kedua-duanya," katanya.

Mustapa berkata Proton kini merupakan peserta yang agak kecil dalam konteks  global dan tidak mampu bersaing dengan syarikat-syarikat asing melainkan dapat meningkatkan eksportnya dengan ketara.

"Keupayaan Proton tidak digunakan sepenuhnya dengan hanya kira-kira 35 peratus daripada setiap dua kilang pengeluarannya yang dimanfaatkan.

"Keputusan untuk mempunyai dua kilang mungkin antara kesilapan yang dibuat  Proton sebelum ini," katanya.

Mustapa berkata kerajaan percaya model perniagaan semasa yang diguna pakai Proton tidak mapan.

"Kerajaan sememangnya serius mempertimbangkan permohonan Proton untuk mendapatkan bantuan geran dan pinjaman mudah. Ia suatu permintaan besar dan kerajaan perlu menelitinya kerana melibatkan banyak wang awam.

"Kita perlu berhemat dalam peruntukan sumber-sumber pada masa ini berikutan  pendapatan negara yang terjejas teruk akibat kejatuhan harga minyak dan komoditi," katanya.

Mustapa berkata Proton hampir memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat asing terkemuka dalam industri automotif kira-kira tiga tahun lalu, tetapi menarik diri pada saat-saat akhir.

"Sekiranya kerjasama ini dapat direalisasikan, kita mungkin telah melihat prestasi Proton yang lebih baik pada tahun-tahun berikutnya," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:
Write ulasan