Ahad, 27 Mac 2016

Tun M Dakwa Temui Ku Li Berhubung Undi Tak Percaya Terhadap Najib

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau menemui Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bagi membincangkan tentang undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas perdana menteri itu mendakwa Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li mengubah pendiriannya selepas menyedari beliau tidak boleh mendapat sokongan secukupnya di kalangan Ahli Parlimen di Parlimen.

"Dia (Tengku Razaleigh) beritahu saya dia boleh menjatuhkan Najib dengan undi tidak percaya, dan dia boleh mengedarkan deklarasi tidak percaya berkenaan kepada semua Ahli Parlimen.

"Walaupun dia mendakwa boleh dapat sokongan daripada majoriti, dia tidak boleh melakukannya," dakwa Dr Mahathir pada Sabtu.

Bekas perdana menteri yang ditemui pemberita semasa menghadiri satu simposium di Yayasan Kepimpinan Perdana turut mendakwa Tengku Razaleigh memberitahunya untuk pergi ke Sarawak bagi mengadakan kempen menentang Najib.

Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas mengenai Deklarasi Kelantan yang ditandatangani Tengku Razaleigh dan wakil rakyat Barisan Nasional di negeri itu baru-baru ini bagi menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Najib.

Bekas perdana menteri berkata, Ahli Parlimen Gua Musang itu mempunyai hak untuk menyokong sesiapa yang dia mahu, sambil menambah bahawa beliau tidak berasa dikhianati oleh pencabarnya itu dari Umno.

"Saya telah dikhianatinya banyak kali. Semasa dia kalah dalam pemilihan parti, dia menyaman parti dan membawa perkara itu ke mahkamah untuk mengisytiharkannya sebagai tidak sah.

"Saya terpaksa membina semula parti, yang tidak disertainya. Dia membentuk Semangat 46. Jadi apa yang anda jangkakan daripada seseorang seperti itu," tambahnya.

Dr Mahathir baru-baru ini bergabung dengan pembangkang dengan melancarkan Deklarasi Rakyat bagi menyingkirkan Najib.

Setakat pukul 4.50 petang, cubaan wartawan untuk mendapatkan maklum balas daripada Tengku Razaleigh berhubung dakwaan yang dibuat Dr Mahathir tidak berjaya.

Tiada ulasan:
Write ulasan