Suka Perli Pasangan Di Media Sosial? Ini Nota Buat Anda

Jadi fenomena di media sosial zaman sekarang, budaya yang amat membimbangkan apabila isteri suka menyindir kelemahan suami dalam Facebook, suami tak mahu kalah mendedahkan aib isteri dalam Twitter. Anak-anak mereka pula mencarut dalam Instagram, sungguh amat memalukan!

Kadang-kadang apa yang kita tulis sebenarnya mahu menegur pasangan orang lain tetapi setiap orang yang membaca tulisan itu telah menyangka ada ‘sesuatu’ terjadi dalam perkahwinan kita. Aib dan cela bukan untuk didedah, kalaupun mahu memberi nasihat gunakan perkataan yang lembut, kiasan yang menyentuh hati, perumpamaan yang menginsafkan diri bukan tohmahan yang menambah lagi perbalahan.


Isteri yang tidak mendapat perhatian yang cukup daripada suami ataupun dibuli dan dipinggirkan sememangnya mudah terkena penyakit emosi tak terkawal. Dia membalas dendam kepada apa saja dan siapa saja yang ditemui, tak kira di rumah, di jalan, di pejabat, di pasar hatta di masjid sekalipun. Apabila seseorang tidak mampu mengawal diri sebenarnya bukan terjadi tanpa sebab bahkan ini merupakan proses yang dilaluinya semenjak dari zaman kanak-kanak lagi, semasa remaja hingga dewasa tabiat sebegitu telah lama berakar. Oleh itu kecerdasan seorang anak bukan hanya dinilai dari segi pencapaian akademiknya bahkan ‘keupayaan self control’ lebih bernilai dari semua prestasi.


Proses yang panjang untuk menjadi diri kita yang sekarang amatlah penting diteliti dengan mata hati dan ilmu yang mendalam, melalui agama kita tahu mendidik diri agar menjadi insan baik di sisi Allah dan di mata manusia. Tetapi malangnya ia bukan suatu yang mudah di tengah-tengah budaya kasar dan bengis atau istilah barunya sarkastik. Akhlak yang merupakan ciri agama kita seolah-olahnya terkubur oleh budaya sindiran tajam yang merosakkan kasih sayang dalam rumah tangga, masyarakat dan umat manusia keseluruhannya.

 Suka Perli Pasangan di Media Sosial? Ini Nota Buat Anda
Lemah lembut, ikut tertib adab marah

Suami yang memiliki senarai kesalahan panjang yang mungkin membuat isterinya jemu, putus asa dan akhirnya meluahkan amarah untuk bacaan orang awam di Facebook sebenarnya tidaklah sezalim firaun yang membunuh isterinya dengan tangannya sendiri.


Kawal diri bukan bermakna melepaskan marah pada orang lain yang tiada kena mengena, seperti pukul anak dan hempas barang hingga pecah. Kawal diri mesti ada tertib aturan adabnya iaitu diam, ingat Allah, menyumpah syaitan, cari kelemahan diri sebelum mencari kelemahan orang lain, melarikan isu sementara masih berasa panas dalam hati, berwuduk, menangis kerana Allah SWT, meminta dijauhkan daripada kejahatan orang yang kita marah dan kejahatan diri sendiri ketika marah.


Tidak sarkastik tapi puitis

Suka menuliskan teguran kepada orang lain dengan cara sarkastik, tajam dan bengis tak akan mempengaruhi orang yang kita benci bahkan mungkin menambahkan lagi konflik, tetapi jika kita luahkan dengan kata dan nasihat yang indah, penuh inspirasi lagi menginsafkan tidak mustahil akan sampai nasihat itu ke dalam hatinya yang dahagakan rasa kasihan. Pandanglah orang yang kita benci dengan pandangan kasihan, seperti perang antara suami dan isteri hendaklah tanamkan rasa keinsafan dengan lemah lembut, bahasa yang puitis, indah lagi menenteramkan hati.


Apabila dibalas dengan kasar janganlah cepat terasa, cubaan isteri memujuk suami atau sebaliknya bukan semestinya berjaya pada ketika itu juga. Ada masa suami perlukan ruang untuk dia melontarkan kemarahannya, ketika itu bagilah dia peluang. Begitu juga sebaliknya dengan suami jangan cepat putus asa mendapati isteri yang tak beradab, ajari dan bimbing dengan hati dan bahasa puitis sebagaimana kala bercinta dahulu.

0 comment... add one now