Sabtu, 26 Mac 2016

'Sayang Ibu' Ungkapan Terakhir Kanak-Kanak Maut Terperangkap Dalam Kereta

LANGKAWI: 'Sayang ibu' menjadi ungkapan terakhir yang masih diingati Zainun Mohamad, 38, yang diucapkan anaknya, Muhammad Asyraaf Abdullah yang meninggal dunia setelah terperangkap di dalam sebuah kereta rosak milik bapanya di sini, Khamis.

Zainun, 38, berkata Muhammad Asyraaf, 4, meluahkan perkataan itu malam sebelum arwah hendak tidur dan tidak menyangka ia akan menjadi petanda, anak angkatnya itu akan meninggalkannya buat selama-lamanya.

"Beberapa hari ini pun Asyraaf nampak lebih manja dan minta disuapkan kalau nak makan," katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kelibang di sini.

Menurutnya dia berada di tempat kerja di sebuah kompleks membeli-belah di sini apabila beliau menerima panggilan telefon dari suaminya, Ariffin Zainuddin, 43, pada 4 petang semalam mengatakan anaknya tidak sedarkan diri selepas terperangkap di dalam kereta yang terletak bersebelahan rumah mereka.

"Asyraaf dibawa ke hospital dan apabila saya tiba di sana, saya diberitahu anak saya sudah tiada lagi," katanya.

Zainun berkata Muhammad Asyraaf biasanya ditinggalkan bersama pengasuh sekiranya beliau bekerja namun setelah Ariffin tidak bekerja sejak beberapa bulan lepas, arwah tinggal bersama-sama suaminya.

"Arwah ni memang jenis anak yang aktif dan sebelum ini pun saya memang nampak dia selalu bermain dalam kereta yang rosak tu tapi tak ada apa-apa yang berlaku," katanya.

Meminati karektor animasi ultraman, Muhammad Asyraaf katanya suka dibawa ayahnya bersiar-siar dan pernah berkata: "Kita jalan dan sembang jauh-jauh".

Jenazah kanak-kanak itu dikebumikan di sini malam Khamis.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan turut menziarahi keluarga Zainun dan menyerahkan sumbangan kepadanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan