Ahad, 27 Mac 2016

Pilih Kerja Di Luar Bidang Pengajian Satu Perkembangan Baik

PETALING JAYA: Lebih ramai graduan pada masa ini bekerja di sektor yang tidak mempunyai kaitan dengan bidang pengajian mereka, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia.

Pengarah eksekutifnya Datuk Shamsuddin Bardan berkata situasi ini dilihat lebih ketara berlaku pada tahun lepas dan ia akan menjadi biasa pada tahun ini kerana peluang pekerjaan yang berkurangan.

Malah, mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang perubatan, undang-undang dan kejuruteraan turut menceburi bidang pekerjaan berkaitan seni dan keusahawanan.

Menurut pakar, apa yang berlaku ini tidak mungkin akan menjadi satu trend yang tidak baik, sambil menegaskan bahawa kemahiran yang dibangunkan ketika mereka belajar boleh dimanfaat dan terpakai dalam kebanyakan bidang lain.

Walaupun sesetengah majikan masih teragak-agak untuk menerima calon yang mempunyai ijazah tidak sepadan dengan keperluan mereka, Shamsuddin berkata faktor-faktor seperti sikap yang baik dan keupayaan untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris turut menjadi kekuatan.

Malah, terdapat juga calon yang berkemungkinan lebih baik daripada mereka yang dilatih dalam bidang yang khusus itu.

Shamsuddin memberi contoh seseorang yang mempunyai ijazah kejuruteraan tetapi bekerja dalam pentadbiran atau pengurusan yang berkemungkinan menjadi seorang pekerja yang lebih teliti dan lebih sesuai untuk kerja tersebut.

Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengambil pendekatan yang lebih fleksibel tahun ini, termasuk menggalakkan kursus dalam talian untuk menghasilkan lebih ramai calon yang sesuai dengan semua pasaran kerja.

Kementerian juga merancang untuk bergerak ke arah proses akreditasi yang lebih mantap bagi membolehkan pelajar mengikuti pelbagai program dari institusi berbeza tetapi masih boleh memperoleh ijazah yang diiktiraf bersama.

"Salah satu inisiatif ialah dengan memberi kredit kepada Massive Open Online Courses (MOOCs). Pelajar yang mengambil sebilangan kursus MOOCs boleh diberikan ijazah oleh universiti-universiti tempatan, dengan syarat mereka menghabiskan tempoh masa tertentu di kampus," kata kementerian itu.

Ini bermakna pelajar boleh mendapatkan ijazah daripada gabungan kursus dalam talian dan masa yang dihabiskan di kampus.

Tiada ulasan:
Write ulasan