Pesawat Lufthansa Nyaris Bertembung Dron

LOS ANGELES – Juruterbang pesawat penumpang jumbo jet Lufthansa melaporkan sebuah pesawat dron hampir bertembung dengan pesawat penumpang yang dikendalikannya, semalam.
Ia berlaku ketika pesawat syarikat Jerman tersebut hampir mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX), menurut Pentadbir Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS).

Detik mencemaskan antara pesawat penumpang Airbus A380 dengan empat enjin serta lawannya, pesawat kawalan jauh itu berlaku pada jam 1.30 tengah hari waktu tempatan pada ketinggian 152 meter.

Dron terbabit didapati bersilang kira-kira 61 meter di atas pesawat Lufthansa, kira-kira 22.5 kilometer dari lapangan terbang berkenaan, menurut FAA lagi.

Tiada langkah mengelak diambil kru penerbangan itu dan pesawat Lufthansa penerbangan 456 itu selamat mendarat beberapa minit kemudian tanpa sebarang insiden, menurut jurucakap FAA, Ian Gregor.

Menurut analisis data yang didedahkan Senator California, Dianne Feinstein, FAA menerima sekurang-kurangnya 42 laporan dron terbang tidak selamat berhampiran LAX iaitu lapangan terbang kedua paling sibuk di AS. – REUTERS

0 comment... add one now