Jumaat, 11 Mac 2016

Pelajar Tahfiz Antara 12 Peserta 'Ceria Popstar'

KUALA LUMPUR: Pelajar sekolah tahfiz iaitu Muhammad Hady Muhammad Faiz antara 12 peserta yang dipilih menyertai program Ceria Popstar 2016 musim baharu yang akan bersiaran bermula 25 Mac ini.

Muhammad Hady, 14, berkata, dia sedar akan ada pihak memandang serong kepadanya apabila mengambil keputusan menyertai pertandingan nyanyian kerana statusnya sebagai pelajar agama namun dia tidak melihat ia sebagai satu kesalahan sekiranya dia menekankan disiplin dalam pelajarannya di sekolah.

"Saya tahu akan ada orang yang suka dan sebaliknya kerana saya seorang pelajar tahfiz tetapi saya ada misi tersendiri apabila memasuki pertandingan ini iaitu mahu menyebarkan dakwah.

"Alhamdulillah setakat ini saya tidak lupakan pelajaran dan akan memastikan selepas solat Subuh akan menghafaz Al-Quran selain melakukannya juga sebelum tidur.

"Bidang nyanyian memang saya minat sejak kecil dan tidak salah rasanya saya mencuba tambahan pula ini kali pertama saya menyertai pertandingan bakat," katanya kepada mStar Online.

Muhammad Hady ditemui pada sidang media pelancaran program berkenaan yang diadakan di sini, Khamis.

Rancangan ini akan disiarkan di Astro Ceria dan Maya HD pada pukul 9 malam.


Selain Muhammad Hady, tujuh lagi peserta lelaki terpilih menyertai Ceria Popstar iaitu Irfan Harris Othman, 15, Wafiy Irfan Ariffen Kamal Ariffen, 10, Hazmil Hassan, 11, Muhammad Shahreza Abu Samah, 13, Muhammad Aniq Iffat Ruzaimi, 10, Muhd Fikri Mohd Tahar, 14, dan Mohamad Sharie Amzah, 10.

Manakala empat peserta perempuan adalah Siti Junaidah Bekri, 14, Eylia Eyre Guntabid, 15, Siti Amirah Dalili Mohd Amerullah, 11 dan pasangan duo adik-beradik Fatma Naslin, 14, dan Farhana Naslyn Suhailin, 11.

Muhammad Hady adalah pelajar tingkatan dua di sekolah Al Maahad Al Islam Lit Tarbiah Wat Tahfiz (MITT) Johor Baru, Johor.

Sehingga kini dia sudah berjaya menghafaz Al-Quran sehingga juzuk 29 dan hanya tinggal satu juzuk lagi untuk melengkapkannya.

Tambahnya lagi, keluarga, guru dan rakan-rakan di sekolah memberi sokongan kepadanya menyertai Ceria Popstar namun dia diingatkan agar tidak meninggalkan hafazan Al-Quran.


"Setakat ini program ini tidak menggangu waktu belajar dan hafazan. Alhamdulillah saya lebih bersemangat kerana mendapat sokongan keluarga guru dan rakan-rakan," ujarnya.

Datuk Aznil Nawawi masih bertindak sebagai penaung Ceria Popstar manakala Nabil Ahmad dan bekas peserta Ceria Popstar musim kedua iaitu Wafiy sebagai pengacara.

Ceria Popstar akan bersiaran selama sembilan minggu termasuk episod uji bakat manakala konsert pertama akan bersiaran pada 1 April depan.


Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 manakala naib juara RM15,000 dan tempat ketiga RM10,000.

Tiada ulasan:
Write ulasan