Ahad, 27 Mac 2016

Mudah Sensitif Sejak Mengandung, Suami Pandai Ambil Hati - Raja Farah

KUALA LUMPUR: Pelakon Raja Farah bersyukur tidak berdepan sebarang alahan seperti yang dilalui kebanyakan wanita mengandung sepanjang hampir lima bulan kehamilannya. Raja Farah atau nama sebenarnya Raja Farah Raja Aziz, 28, bagaimanapun merasai perubahan dalam dirinya terutama dari segi emosi apabila mudah terasa hati hingga suaminya, Iskandar Ismail, 34, cukup berhati-hati setiap kali mereka berbual.

"Sudah hampir lima bulan kandungan ini, syukur saya tidak mempunyai sebarang alahan. Cuma saya mudah penat, selain mengalami perubahan emosi yang ketara. Saya mudah sensitif dan senang menangis.

 "Suami pula risau jika mahu menegur sesuatu perkara kerana saya mudah sensitif. Alhamdulillah, dia bijak mengambil hati supaya saya tidak mudah terguris hati," katanya kepada BH Online.

Raja Farah bagaimanapun, bersyukur kerana mempunyai keluarga dan mentua yang begitu prihatin malah sentiasa membuatnya bahagia. Akuinya, sejak mendirikan rumah tangga pada 6 September lalu, satu demi satu kebahagiaan mendekatinya semua itu adalah rahmat buatnya.

"Saya pernah melalui tempoh kesedihan selepas bercerai pada tahun lalu. Namun, tiga bulan selepas itu, kebahagiaan kembali dirasai. Saya berkahwin dengan Iskandar, seterusnya bersama-sama menunaikan ibadah umrah, saya dikhabarkan dengan berita gembira apabila disahkan hamil sejurus pulang dari Makkah.

 "Semua itu adalah nikmat yang sukar untuk digambarkan. Tidak sangka saya akan hamil secepat ini, memandangkan saya tidak mengandung pada perkahwinan pertama dulu. Berita ini amat mengejutkan sebenarnya. Alhamdulillah, saya percaya setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Raja Farah berkata, dia bakal mengendalikan sebuah program Islamik, namun hanya akan mendedahkan secara terperinci apabila tiba masanya. Selain itu, Raja Farah juga memenuhi jemputan menghadiri forum keagamaan.

 "Saya juga dilantik menjadi duta produk susu kambing, Khalish. Alhamdulillah, ada saja rezeki yang datang. Selain itu, suami pula membuka restoran di pusat beli belah SACC Shah Alam yang akan beroperasi tidak lama lagi," katanya.


Tiada ulasan:
Write ulasan