Mia Sara Minta Pihak Produksi Hormat Dirinya Yang Bertudung

KUALA LUMPUR: Bintang cilik, Mia Sara Nasuha, 11, memohon pengertian penerbit supaya menghormati pendirian pelakon yang sudah berhijab dan akur menerima perubahan imej mereka.
Mia yang mengenakan hijab sejak pulang daripada mengerjakan umrah, tahun lalu terkilan apabila sesetengah pelakon tidak mempunyai pilihan dan terpaksa mengetepikan prinsip mereka hanya kerana ingin memenuhi permintaan produksi.

Baginya, produksi sepatutnya lebih bertanggungjawab dan memahami supaya pelakon tidak dipersalahkan kerana mereka juga mempunyai keinginan untuk berubah ke arah kebaikan.

"Tidak wajar meletakkan seluruh kesalahan kepada pelakon apabila mereka terpaksa membuka tudung untuk menjayakan sesuatu watak. Pada pandangan saya, orang yang menyebabkan mereka bertindak demikian juga patut dipersalahkan.

"Dalam hal ini, saya berharap produksi bersikap lebih terbuka dan menerima pelakon bertudung seadanya. Jangan ubah penampilan mereka apabila sudah menetapkan pendirian untuk berhijab," katanya.

Ditemui selepas majlis pelancaran rancangan bual bicara kanak-kanak Al Wildan, di ibu kota, baru-baru ini, Mia berharap pelakon yang bertudung tidak sesekali lemah dengan pujukan dan paksaan pihak lain yang mahukan mereka kembali kepada imej lama.

"Kita bertudung kerana Allah dan bukan untuk memuaskan hati orang lain. Jadi kenapa perlu kita mengikut cakap mereka? Saya bertudung atas kerelaan diri dan ia datang dari hati.

"Apabila usia semakin meningkat, saya jadi tidak selesa apabila terpaksa membuka aurat," katanya mengakui pernah diminta oleh produksi supaya menanggalkan hijab jika ingin terbabit dalam produksi mereka.

Terdahulu, bapa Mia, Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh, 41, berharap penampilan anaknya tanpa hijab dalam beberapa program tidak dijadikan isu kerana terikat dengan tuntutan kontrak yang sudah dipersetujui sebelum berangkat ke Tanah Suci pada akhir tahun lalu.

Perkara itu, bagaimanapun sudah dibincangkan dengan produksi yang terbabit malah mereka menetapkan garis panduan tertentu terutama dalam pemilihan pakaian kerana tidak mahu Mia tampil keterlaluan.

"Ada produksi yang meminta saya mengenakan skirt dan baju berlengan pendek serta berstokin panjang. Saya rasakan imej itu tidak lagi sesuai dengan penampilan terkini. Jika kurang selesa dengan pakaian yang disediakan, saya akan luahkan kerana tidak mahu timbul salah faham.

"Secara jujur, saya juga kurang selesa jika ada pihak yang cuba penampilan saya. Alhamdulillah, Tuhan membuka pintu hati saya lebih awal untuk berhijrah dan ia lebih baik kerana bimbang saya sukar menyesuaikan diri apabila lambat melakukan perubahan," katanya.

0 comment... add one now