Sabtu, 19 Mac 2016

Lagu Syamel Lebih Popular, Sufi AF2015 Tidak Kecil Hati

PENYANYI asal Singapura yang juga juara Akademi Fantasia 2015, Sufie Rashid, 24, menepis dakwaan kononnya kurang popular berbanding rakan seperjuangannya Syamel setelah namanya berjaya tersenarai di dalam Anugerah Bintang Popular dan Anugerah Pilihan Online.

“Memang secara jujurnya ramai peminat menyukai lagu Syamel berbanding lagu saya.

“Walaupun begitu, saya tidak berkecil hati dan menganggap semua itu adalah rezeki Tuhan. Mungkin itu rezeki Syamel dan rezeki saya pula di bahagian lain. Tak siapa tahu.

“Walaupun wujud dakwaan kurang popular itu, namun klip-video lagu Kisah Dua Muka telah ditonton lebih daripada dua juta kali di Youtube.

“Ini bermakna ramai juga yang meminati dan mendengar lagu nyanyian dan ciptaan saya.

“Apa-apa pun saya tetap lakukan yang terbaik dan tidak berkecil hati jika ada yang menganggap saya tidak popular.

“Ini semua keputusan peminat. Mereka boleh buat pilihan melalui lagu mana yang mereka suka dan sebaliknya,” jelas Sufi.

Walau apa pun tanggapan orang lain, kata Sufi kerjasama antara artis dan peminat adalah paling penting untuk menaikkan nama seseorang artis lebih-lebih lagi bagi artis baru yang sedang meningkat naik.

“Selain melalui lagu, saya juga banyak mendekatkan diri dengan peminat. Setiap bulan, saya akan adakan aktiviti untuk mengeratkan hubungan saya dengan mereka.

“Antaranya keluar makan-makan, menonton wayang dan sebagainya. Mereka juga merupakan sumber rezeki dalam kerjaya seni saya.

“Pihak pengurusan Astro juga ada menyusun beberapa program untuk saya. Tetapi, saya masih belum boleh berkongsi dengan peminat hingga tiba masanya nanti,” katanya.

Jelas Sufi, selain beberapa program yang dilihat boleh menaikkan namanya, beliau turut memberitahu tentang perancangan untuk melakukan kolaborasi bersama artis lain.

Pertengahan Februari lalu, Sufi telah merasmikan perniagaan restorannya yang diberi nama De Tulang Merah yang terletak di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Restoran tersebut menyajikan sup tulang merah yang popular di Singapura serta beberapa makanan unik lain seperti spageti masak lemak, pasta sambal tumis, ais solo dan banyak lagi dengan harga yang berpatutan.

Tiada ulasan:
Write ulasan