Ahad, 27 Mac 2016

KPN Nafi M16 Diguna Dalam Kes Tembak Di Sepang

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan senjata api yang digunakan dalam kes tembak berhampiran pekan Chaterfield, Pusat Komersil KLIA di Sepang pada Jumaat malam, bukannya senapang M16.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kelongsong peluru yang ditemui di lokasi kejadian adalah jenis 9MM, dipercayai milik pistol.

"Biarlah kami menjalankan siasatan...kalau ada perkembangan, kita akan maklum kemudian," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Ke-23 pada Sabtu.

Dalam kejadian 8.45 malam Jumaat, seorang pengawal peribadi kepada ahli perniagaan cedera parah selepas ditembak dua lelaki yang menaiki kereta berasingan berhampiran pekan Chaterfield.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian belakang bahu kanannya akibat terkena tiga das tembakan.

Beliau dirawat di Hospital Putrajaya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, polis akan mendapatkan kenyataan daripada mangsa dalam masa terdekat bagi mengetahui punca kejadian.

"Kita perlu tahu mengapa mangsa menjadi sasaran suspek, siasatan terperinci akan dilakukan terhadap mangsa juga," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:
Write ulasan