Ahad, 20 Mac 2016

Kongsi Secawan Milo & Roti Canai Dengan 5 Anaknya – Bapa Ini Buat Kita Rasa Bagai ‘Ditampar’

Kadang-kadang dalam hidup ni kita selalu rasa tak cukup, rasa kurang dengan apa yang kita ada. Tengok orang belanja besar, makan mewah kita pun nak jugak rasa benda tu. Tapi kita selalu lupa yang masih ramai lagi yang kurang bernasib baik kat luar sana.
Seperti apa yang abang ni lalui buat dirinya rasa tertampar. Tiba-tiba teringat ayah ibu yang berada di kampung, besar pengorbanan mereka untuk besarkan kita. Bayangkan segelas milo panas dikongsi 5 anaknya….

Datang seorang bapa bersama 5 orang anaknya yang masih kecil…

Aku ditampar di warung kopi.
Pagi tadi sewaktu mengeteh di kedai Along, saya lihat ada seorang bapa datang bersama anaknya yang masih kecil, semuanya 5 orang. Sampai di pinggir warung, mata si bapa terkebil-kebil mencari sudut yang tidak panas. Dia mahu kawasan yang redup untuk anak-anak.
Sambil hirup perlahan teh o panas dan menyuap roti canai garing ke dalam mulut, saya perhatikan saja keluarga ini. Datanglah Jonos ke meja mereka. Si Jonos budak muda yang berkuli dengan Along setiap pagi.

Si bapa mencampurkan secawan milo ke dalam 4 air suam anak-anaknya…

” Pagi bang, mai saya ambil order minum dulu. Nak minum apa ?”.
” Hmm, bagi milo satu dengan air suam empat”, balas si bapa tadi.
” Makan apa bang ? ” soal Jonos.
” Buat roti canai 3, potong halus, banjir ya”, pesan si bapa.
Naluri kebapaan saya ini bagaikan dapat membaca apakah yang bakal berlaku sekejap lagi. Air teh saya mula terasa tawar, roti canai depan mata saya kuis-kuis dengan sudu sambil bermain perasaan. Allahu..
Sebaik minuman dan makanan yang dipesan tadi sampai ke meja mereka. Si bapa mencampurkan secawan milo tadi ke dalam empat cawan air suam anak anaknya. Si anak mengangkat tangan serentak sambil membaca doa makan. Kedengaran perlahan, ” Bismillahirahmanirahim, Allahumma barik lana fi ma razak tana. Wa qina azabannar. Amin”.

Roti canai juga dibahagikan seorang sedikit.. Terpancar sinar ceria diwajah mereka…

” Hah, minum slow-slow air milo tu ya” kata si bapa.
Roti canai banjir tadi juga dibahagikan seorang sedikit. Maka berkongsilah sesuap dua adik beradik ini. Roti canai Along memang sedap dan terkenal di sini, terpancar sinar ceria dan suka di wajah mereka semua.
Tidak ada seorang pun anak-anak yang mengeluh. Tidak ada seorang pun antara mereka yang nakal. Semuanya duduk tertib, makan dan minum dengan sopan sekali. Seolah mereka mengerti nilai sebuah kesyukuran di pagi ini.

Pengajaran apakah yang Tuhanku mahu ajarkan di pagi hari begini?

Tidak sampai 20 minit, mereka habis makan dan berlalu pergi. Saya kembali merenung roti canai yang sudah kembang di dalam pinggan. Kepala terus berfikir, pengajaran apakah yang Tuhanku mahu ajarkan di pagi hari begini ?
Sahabat, terkadang kita merasakan hidup kita sudah cukup susah apabila diuji dengan sedikit masalah. Rupa-rupanya masih ada yang lebih susah berbanding kita. Bukan kesusahan itu yang mahu kita nikmati, tetapi nilai disebalik setiap situasi itulah yang patut kita syukuri.
Sungguh, aku seperti ditampar di warung kopi.
Sedih.. Daripada kita mengeluh nasib yang menimpa, kita sepatutnya bersyukur dikurniakan rezeki yang melimpah ruah. Tak perlu berlapar dan mengikat perut. Bayangkan bagaimana didikan bapa tadi kepada kelima-lima anaknya sehingga anaknya begitu tertib dan tak merungut ketika makan. Semoga anak-anak tadi menjadi orang yang berguna dan membalas jasa orang tua nya kelak.
sumber : Ikram Al-Banjari

Tiada ulasan:
Write ulasan