Sabtu, 19 Mac 2016

Kementerian Salahguna Dana RM107 Juta

PUTRAJAYA - Seorang penjawat awam berusia 56 tahun berjawatan Setiausaha Bahagian (SUB) di sebuah kementerian didakwa menjadi dalang satu sindiket salahguna dana kerajaan sehingga menyebabkan kerugian RM107 juta, lapor Harian Metro.

Menurut Pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki, sindiket itu dianggotai oleh sembolan ahli yang terdiri daripada 8 lelaki dan seorang wanita berusia di antara 28 hingga 56 tahun.
Hasil siasatan awal SPRM mendapati, sindiket itu bermula sejak 2010, bagaimanapun tidak menolak yang sindiket itu bermula sejak beberapa tahun sebelum itu.

Kesemua suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan kini direman selama 7 hari.

"8 individu yang ditahan adalah kontraktor penganjuran program, manakala pegawai kanan berkenaan bertindak mengarahkan pihak kewangan dari sebuah agensi di bawah kementerian itu membuat bayaran kepada tidak kurang dari 14 syarikat yang dikendalikan ahli sindiket bagi program yang diwujudkan, walhal kerja tidak pernah dilaksanakan," katanya di sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini. 

Tambah beliau, nilai suapan yang diterima oleh pegawai kanan terbabit dianggarkan mencecah RM20 juta yang merangkumi rumah, kereta mewah, pembayaran insuran dan unit amanah bernilai jutaan ringgit, kemudahan kad kredit 'suplementary' dan pengubahsuaian rumah.

"Pegawai kanan ini juga hidup mewah sehingga mampu membeli jam tangan berjenama yang setiap satunya berharga tidak kurang RM400,000, barang kemas yang ada bernilai tidak kurang RM600,000, set bilik tidur bernilai lebih RM300,000, 40 beg tangan berjenama dan pakaian berjenama," katanya. 

Difahamkan, pegawai kanan yang berusia 56 itu telah berkhidmat di kementerian berkenaan itu semenjak tahun 1998 dan dilantik sebagai SUB Bahagian Kewangan Kementerian berkenaan sejak 8 tahun lalu.

SPRM masih membuat siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan kesalahan penggubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Tiada ulasan:
Write ulasan