Kematian pelatih konstabel kes pertama akibat strok haba

PUTRAJAYA – Sebanyak 11 kes kelesuan haba dan tiga kes strok haba dilaporkan sejak dilanda cuaca panas yang berterusan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, daripada kes-kes tersebut, satu kes menyebabkan kematian dilaporkan.
“Daripada 11 kes yang dirawat akibat kelesuan haba, lima di Hospital Banting, Selangor; Hospital Langkawi, Kedah (2) dan masing-masing satu di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Selangor), Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan dan Hospital Putrajaya,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, dua pesakit strok haba masih dirawat di Hospital Banting manakala dalam kes di Hospital Segamat, pesakit meninggal dunia.
“Rabu lalu, seorang pelatih di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat menjadi mangsa pertama yang meninggal dunia akibat strok haba,” kata beliau.
Subramaniam berkata, Azizan Ayob, 23, dilaporkan dima­sukkan ke hospital setelah pitam semasa menjalani latihan di trek padang tertutup di Pulapol.
“Laporan hospital mendapati mangsa mengalami dehidrasi (kekurangan pengambilan air) serta darahnya menjadi pekat dan tisu tubuh tidak mendapat oksigen secukupnya,” kata beliau. – Bernama

0 comment... add one now