Tiada rasa berang atau marah dengan individu tersebut, cuma kakak kepada pelakon, Nelydia Senrose ini mengucapkan rasa syukur kerana jika tiada siapa yang menegur silapnya, mungkin dia masih lagi hanyut dibuai arus kejahilan.

Mengakui dirinya masih muda dan banyak melakukan kesilapan, si manis berusia 24 tahun ini memohon agar peminat memberi peluang kedua untuk terus menabur bakat di laman seni yang amat diminatinya.

Malah, belum pun sempat dirinya beraksi di pentas Istana Budaya bagi menjayakan watak Izzah menerusi teater Ombak Rindu, ramai pihak sudah mula mempertikaikan kemampuan gadis ini.

Biarpun sedih dengan kata-kata nista netizen, namun dia sedar kesalahan dan kelemahan itu berpunca daripada dirinya sendiri.

Kepada Hits, Uqasha meluahkan isi hatinya.

Hits: Uqasha, apa khabar? Bagaimana dengan kehidupan dan perkembangan kerjaya sekarang?

Uqasha: Alhamdulillah, sekarang saya sedang sibuk menjalani penggambaran Tundukkan Playboy Itu yang sedang ditayangkan di televisyen. Kehidupan pula, macam biasa, baik-baik sahaja. Semua seperti biasa berjalan dengan baik.

Kita tidak mahu berdolak-dalik, mungkin Uqasha boleh kongsikan perasaan selepas gambar percutian yang memaparkan Uqasha tidak bertudung tersebar.
Pada mulanya saya terkejut namun bila difikirkan kembali, saya sedar itu semua kesilapan di atas kejahilan diri sendiri yang masih terlalu cetek ilmu agama.
Sebenarnya, bagi saya, manusia ini banyak dugaannya dan kejadian itu merupakan dugaan yang telah tertulis untuk saya. Saya akui, iman diri ini tidaklah sekuat mana, kadang kuat, kadang ke laut juga. Jadi, saya lebih mengambil pendekatan untuk terus belajar.

Bila gambar tersebar, ada tidak timbul rasa marah terhadap individu tersebut?
Tidak, saya mahu berterima kasih sebenarnya kerana jika dia tidak menegur kesilapan yang dilakukan, mungkin sehingga hari ini saya akan terus melakukan tindakan yang sama tanpa menyedari benda itu salah.
Tiada manusia yang sempurna
, seperti yang saya cakapkan, apa pun yang dikatakan oleh peminat atau pihak yang membenci, saya terima seadanya tanpa rasa marah.

Apabila gambar itu menjadi buah mulut netizen, sudah semestinya ada pihak yang mula mengeluarkan kata-kata nista kepada Uqasha. Boleh kongsikan sedikit.

Sebelum gambar itu tersebar lagi, orang sudah benci saya. Mungkin sekiranya dibilang jumlah manusia yang tidak suka saya, lebih ramai rasanya daripada mereka yang meminati saya.

Namun, selepas tindakan saya itu menjadi berita, ramai peminat mula mengkritik saya sehingga ada yang mengkafirkan diri ini.

Saya terlalu sedih ketika itu, namun saya terima teguran itu biarpun pedih untuk difikirkan. Banyak ‘mulut-mulut puaka’ yang selama ini mungkin bertepuk tangan melihat saya dihina sedemikian rupa, namun bagi saya, apa yang terjadi memberikan pengajaran kepada diri sendiri supaya berjaga-jaga selepas ini.

Berjaga-jaga dari segi apa itu Uqasha?

Maksud saya, setiap tindak tanduk kita sebagai selebriti sentiasa diperhati. Jadi, saya perlu lebih berjaga-jaga supaya tidak melakukan kesilapan yang boleh diibaratkan mencurahkan ‘setitik nila ke dalam belanga susu’ kerjaya.

Namun, saya juga minta agar masyarakat tidak terus menghentam dan memberikan peluang kepada saya untuk memperbaiki diri.

Saya masih muda, banyak lagi yang perlu belajar, teguran itu salah satu daripada cara untuk diri ini bermuhasabah.

Bagaimana pula dengan kelangsungan kerjaya Uqasha selepas kontroversi tersebut?
Semuanya baik-baik sahaja. Tawaran berlakon tidak putus-putus, cuma saya mahu memberi fokus kepada satu-satu kerja yang sedang dilakukan. Tidak mahu terlalu gelojoh dalam memilih tawaran.

Kontroversi itu tidak perlu diungkit lagi dan jangan disebabkan tindakan bodoh saya, masyarakat masih memberikan persepsi negatif terhadap lakonan saya. Beri peluang untuk saya buktikan bakat yang sebenarnya.

Tentang teater Ombak Rinduapa yang menarik minat untuk turut serta?

Sebenarnya, saya terlalu gembira kerana buat pertama kali diberi peluang untuk beraksi di pentas berprestij itu apatah lagi untuk menjayakan watak Izzah yang menjadi tunjang kepada naskhah Ombak Rindu.

Saya betul-betul terkejut dan tergamam ketika produser, Siti Rohaya Attan menelefon untuk menawarkan watak Izzah. Dalam banyak-banyak pelakon wanita, saya sendiri tidak menyangka akan terpilih.

Pertama kali bakal beraksi di pentas teater, bersediakah?
Ya, saya tahu, mungkin akan ada suara-suara sumbang yang membandingkan lakonan saya dengan Maya Karin yang membawakan watak Izzah dalam filem Ombak Rindu.

Namun, saya tegaskan di sini, kami berdua amat jauh berbeza. Maya merupakan pelakon yang sangat hebat, jadi siapa saya untuk dibandingkan dengannya.

Apapun, saya berjanji untuk melalukan yang terbaik bagi teater ini. Lagipun, produser serta pengarahnya, A. Aris sering memberi kata-kata semangat kerana mereka sendiri percaya yang saya boleh membawakan watak Izzah ini.
Bergandingan dengan Keith Foo, ramai pihak sudah mula mempertikaikan kemampuan kedua pelakon utama untuk teater ini. Macamana Uqasha nak berhadapan dengannya?

Saya tidak mahu ambil peduli dengan kata-kata yang mahu menjatuhkan semangat diri.
Saya mahu bekerja keras untuk mematahkan setiap serangan kata-kata negatif sesetengah pihak yang mempertikai bakat kami.

Biarpun sebenarnya, mustahil untuk saya memuaskan hati semua pihak tetapi apa yang boleh dilakukan adalah memberi persembahan sebaik mungkin agar peminat saya berpuas hati menonton teater itu nanti.

Semasa sesi sidang media, penerbit ada mengatakan bahawa dia tidak mahu mencari pelakon bertudung, adakah ini bermaksud Uqasha akan membuka tudung atau memakai rambut palsu untuk babak-babak tertentu?

Tidak sama sekali, saya tidak akan membuka tudung atau memakai rambut palsu. Pihak produksi juga sudah membincangkan perkara tersebut sebelum menawarkan watak tersebut kepada saya.

Malah, menerusi skrip yang diberi, saya rasa tiada babak-babak yang begitu mengancam yang boleh mengundang rasa benci peminat, cuma jikalau adapun, mungkin tidak terlalu berlebihan.

Izzah watak gadis kampung yang baik, apakah melalui watak ini, awak percaya ia sekaligus mampu menukar persepsi orang terhadap karektor Uqasha sendiri?

Macam inilah ya. Apa yang terjadi, biarlah berlalu, saya tidak mahu hidup di atas kontroversi tersebut, cukup setakat itu sahaja. Saya hanya mahu berlakon kerana itu minat dan impian.

Kita sebagai selebriti ini, satu yang menjadi kekuatan adalah sifat sabar. Saya terima setiap teguran tidak kira baik atau buruk, kerana itu sebenarnya yang membakar semangat untuk terus berjuang.