Berkongsi cerita, menurut penyanyi Nora, konsert itu sepatutnya dilangsungkan tahun lalu namun tidak dapat dilansungkan atas faktor-faktor tertentu.

“Sedih sangat apabila projek itu tidak dapat diteruskan sebab Allahyarham memang banyak melahirkan penyanyi wanita yang berbakat besar.

“Sekiranya ada yang ingin meneruskan hasrat itu selepas ini pun, lebih baik. Lakukan sebuah konsert penghargaan bersama artis yang pernah mendapat didikan Allahyarham,” katanya.
Berkongsi kenangan bersama Allahyarham, jelas Nora, detik ter­akhir dia bersama ialah ketika me­ngadakan satu persembahan showcase pada tahun lalu.

Ketika sedang berlatih, katanya, Allahyarham yang kurang sihat telah datang dan dia sempat me­nyanyi di hadapannya.

“Waktu itu saya ada berpesan kepada beliau untuk kuatkan semangat dan terus sihat. Tanpa sedar, ketika itu juga, saya dan beliau telah sama-sama mengalirkan air mata,” jelas Nora.
Sementara itu, penyanyi terkenal negara, Datuk Siti Nurhaliza juga menyatakan rasa sedihnya atas kehilangan seorang insan seni yang cukup berkebolehan.

“Dia yang membawa saya dan masih segar di ingatan waktu mula-mula memulakan kerjaya dalam bidang seni. Saya tinggal di rumahnya dan dia yang jaga makan minum saya ketika itu. Malah sewaktu konsert akustik saya tahun lalu, saya teringin mahu mengajak dia untuk membuat persembahan di atas pentas bersama dengan iring­an pianonya.

“Walaupun ketika itu dia sakit, dia tetap menunjukkan semangatnya dan detik itu akan menjadi inspirasi kepada saya selepas ini,” katanya.

Adnan dimasukkan ke Hospital Selayang Khamis lalu dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada pukul 2 pagi selepas buah pinggangnya gagal berfungsi selain denyutan jantungnya semakin lemah dan hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Adnan menghidap penyakit diabetes dan angin ahmar.

Dalam pada itu, penyanyi Liza Hanim pula berkata, dididik serta dibimbing untuk menjadi artis rakaman bersama Allahyarham ibarat satu keistimewaan yang bukan semua penyanyi boleh rasa.

“Allahyarham yang memper­kenalkan Liza Hanim ke dalam industri seni dan sewaktu album pertama saya, hampir kesemua lagu mendapat sentuhannya.

“Memang saya beruntung kerana sebagai penyanyi, saya bermula dengan bimbingan seorang komposer yang sangat berbakat besar dalam industri muzik tempatan,” ujarnya.
Turut merasa kehilangan ialah penyanyi, Misha Omar yang men­yifatkan dirinya seperti kehilangan bapa dalam industri muzik.

“Saya kehilangan bapa kandung dua tahun lalu dan kali ini, saya kehilangan seorang lagi yang saya anggap bapa dalam kerjaya seni pula. Apabila saya dapat tahu dia sakit di wad kecemasan, saya gagah­kan diri untuk memandu kereta seorang diri walaupun dalam keadaan hamil untuk bertemunya,” jelas Misha.

Tambah Misha, dia terhutang budi dengan Allahyarham yang membentuknya untuk berada dalam industri.

“Dia yang bawa saya ke dalam industri walaupun ketika itu saya bukan juara Bintang RTM.