Isnin, 28 Mac 2016

Cerita Sebena Keluarga Pengantin Bertumbuk Di Luar Masjid - Dia Cuma Mampu Bayar RM11 Ribu

KUALA LUMPUR 27 Mac – Hasrat sepasang bakal mempelai untuk membina ‘masjid’ musnah apabila bakal pengantin lelaki dan abang saudara tunangnya bertelingkah dan bertumbuk selepas perbinca­ngan antara kedua-dua belah keluarga tidak mendapat kata sepakat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, pihak pe­ngantin lelaki dikatakan gagal memenuhi syarat melibatkan wang hantaran seperti dijanjikan ketika merisik sehingga menimbulkan bibit tidak puas hati antara mereka.

Menurut saksi, Ahnaf Qawiem Muhd. Aufa, 15, dia yang ketika itu berada di luar terdengar kekecohan di dalam masjid sebelum dua lelaki bertegang urat dan bergaduh di luar sehingga menyebabkan beberapa kerosakan pada kerusi simen dan kereta rombongan yang terletak di pekarangan masjid.

“Sebelum mereka bergaduh, saya terdengar ada pertengkaran antara kedua belah keluarga melibatkan wang hantaran RM15,000 tidak dapat dipenuhi pihak lelaki dan ketika membatalkan sesi akad nikah, berlaku salah faham.

“Tidak lama kemudian saya dan rakan melihat dua lelaki bertumbuk di luar sebelum dileraikan orang ramai,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Al-Khadijiah Pantai Dalam di sini hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan, pihak lelaki hanya dapat menyediakan wang sebanyak RM11,000 sahaja dan gagal menepati kehendak yang dipersetujui kedua-dua belah pihak dalam satu surat perjanjian yang ditandatangani pada bulan Januari lalu.

Ibu saudara pengantin perempuan yang hanya dikenali sebagai Rohana ketika dihubungi pula berkata, perselisihan faham tersebut melibatkan beberapa perkara antara dua keluarga dan enggan mengulas lanjut mengenainya.

Sementara itu, cubaan untuk menghubungi pihak lelaki bagi mendapatkan penjelasan lanjut tidak berhasil dan jawapan yang diberikan hanya ‘salah nombor’.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis di Balai Polis Pantai dan difahamkan majlis kenduri pihak perempuan tetap berlangsung di PPR Kampung Limau namun hanya sebagai majlis kenduri kesyukuran.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Shahrul Othman Mansur ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan menerima laporan tersebut.

Tiada ulasan:
Write ulasan