Sabtu, 19 Mac 2016

Bukan Kami Tak Nak Anak, Kami Menikmati Masa Berdua Dahulu - Ramona ZamZam

Tahun pertama perkahwinan sering disamakan sebagai tempoh bulan madu buat pasangan yang baru berumah tangga.

Perkara sama sedang dirasakan pelakon cantik, Ramona Zam Zam atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira, 26.

Pelakon drama Plan Cinta Tak Jadi itu mengakui belum puas bermanja dengan suaminya, Rami Alaskhar, 28, selepas mendirikan rumah tangga tanggal 1 Mei tahun lalu.

Ditemui pada majlis PH Food Festival, Hotel Sunway Putra, menurut Ramona, dia dan suaminya kini mengambil kata sepakat membuat perancangan keluarga dan memberi tempoh selama dua tahun untuk menikmati kehidupan berdua sepuas-puasnya sebelum memikirkan soal anak.

BeritaPremium: Anda tidak berasa takut apabila memilih untuk buat perancangan keluarga kerana rata-rata pasangan muda hari ini mahu segera mempunyai cahaya mata selepas bernikah?

RAMONA: Saya buat perancangan keluarga bukan kerana langsung tidak mahu anak. Tidak logiklah begitu. Cuma keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan dengan suami kerana ketika kami berkahwin, suami baru habis belajar dan saya pula sibuk bekerja.

Jadi kami tiada masa untuk diluangkan bersama. Maka dalam tempoh dua tahun ini, kami ingin menikmati masa berdua dahulu sebelum menerima tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Apakah perancangan yang sudah dibuat bagi menghabiskan waktu berkualiti bersama?

Insya-Allah, hujung tahun ini kami akan melancong mengelilingi Eropah, tiket juga sudah ditempah hampir tiga minggu lepas.

Saya teruja kerana bulan Mei ini, genap setahun kami bernikah dan percutian hujung tahun nanti seperti mengganti kembali waktu pada awal perkahwinan kerana suami untuk membina kerjaya dan saya terikat dengan jadual penggambaran.

Maaf bertanya, jika ditakdirkan anda hamil dalam masa terdekat, adakah anda menerimanya dengan hati terbuka?

Ya, pasti kerana anak itu hadiah Allah. Saya hanya mampu merancang tetapi ketentuan semua terletak di tangan Tuhan. Jika memang Allah mahukan kami bersedia menjadi ibu bapa, kami reda dan gembira andai ditakdirkan mengandung.

Bagaimana pula dengan kehidupan anda selepas bergelar isteri?

Yang pastinya ia berbeza kerana saya sudah mula belajar memasak walaupun hanya lauk-lauk yang ringkas. Saya bersyukur kerana suami jenis yang tidak memilih makanan dan tekaknya boleh menerima masakan Melayu.

Ibu mertua juga mengajar saya resipi masakan Palestin tetapi belum sempat dipraktikkan. Selain itu, kehadiran suami sangat menyenangkan hidup saya dalam segala aspek. Saya sudah lebih belajar bertenang, bersabar dan tidak lagi bersikap tidak matang seperti sebelum berkahwin.

Boleh ceritakan perkembangan karier lakonan anda sekarang?

Selepas berlakon dalam drama bersiri Plan Cinta Tak Jadi dan Anakku Diva tahun lepas, saya sudah mula menolak untuk tawaran drama bersiri kerana jadual terlampau ketat sehingga saya tiada masa bersama suami. Sekarang, saya lebih selesa menerima watak untuk telemovie atau cereka pendek.

Jika terlalu selektif, tidakkah anda risau bakal berdepan masalah hilang tawaran?

Saya yakin dengan rezeki kerana saya bukan lagi wajah baharu dalam industri. Orang sudah kenal dan tahu bakat yang saya ada.

Tiada ulasan:
Write ulasan