Sabtu, 19 Mac 2016

'Ayah Harap, Kamu Kahwin Nanti Ada Pelamin'

Hari ini, genap 7 bulan arwah ayah saya pergi. Saya orang miskin, bukan bermaksud saya merendahkan usaha titik peluh ibubapa saya. Cuma adik beradik saya ramai. Pendapatan hanya mencukupi apa yang perlu sahaja, tak lebih dari itu. 

Adik beradik saya semuanya kahwin serba ringkas. Walimah pun makan laksa sahaja. Saya seorang yang nak belajar sampai PHD. Kehidupan saya memang dengan buku sahaja.

Tetapi bila sampai tahun akhir saya di kampus, ayah terima lamaran seorang lelaki untuk saya. Lamaran sebelum ini, semua ayah tolak. Saya hanya ikut kata mak dan ayah sebab saya yakin tiada mak dan ayah mahukan anak gadis mereka hidup dengan lelaki durjana. Pilihan mak dan ayah mestilah yang terbaik untuk menjaga puteri mereka. 

Ayah pilih tarikh penikahan kami. tetapi saya berjanji pada diri sendiri, kalau saya kahwin kelak, saya nak buat secara besar-besaran dan mewah sebab mak ayah saya orang susah sejak kecil (mak cerita). Jadi saya berjanji saya nak beri mak dan ayah rasa mewah walaupun sehari di hari perkahwinan saya kelak. 

Ayah beritahu saya yang dia harap ada pelamin di majlis perkahwinan saya nanti kerana kami sekeluarga tidak pernah merasanya. 
Untuk pengetahuan semua, perbelanjaan perkahwinan saya tanggung sendiri walaupun bakal suami orang kaya. Saya langsung tidak meminta sesen pun dari dia. Saya ubkan jenis yang suka bergantung dengan duit orang.

Saya jual laptop, handphone untuk mendapatkan duit bagi persiapan perkahwinan. Saya buat handwritting note dan jual. Hasilnya saya kumpul untuk buat mak dan ayah dapat rasa lebih dari biasa, bukan kerana saya nak kahwin mewah. 

Alhamdulillah, saya tak tahu dari mana datangnya duit, majlis berlangsung dengan mewah. Ayah sayalah yang paling gembira, dapat duduk di atas pelamin dengan mak. Ayah tak suka bergambar, tetapi di hari perkahwinan saya, semua gambar ada wajah ayah dan mak. 

Saya menangis melihat adik beradik dengan mak dan ayah dapat merasa semua itu, makan mewah sikit dari biasa. 

Seminggu selepas saya berkahwin, ayah pergi menghadap Ilahi. Ayah tinggalkan saya pada suami yang amat memahami dan bertanggungjawab seperti ayah. Tetapi sekurang-kurangnya saya puas kerana sempat memenuhi kehendak ayah yang ingin merasa pelamin dan hidup senang sedikit sebelum dia pergi buat selama-lamanya. 

Kini, setiap kali saya melihat gambar kahwin, saya tengok ayah. Setiap kali tidur, ayah selalu datang mengusap kepala saya. Kalau saya demam, ayah selalu datang membawa senyuman dalam mimpi saya. 

Sekarang, saya berada di sem terakhir. Langkah saya lesu tanpa semangat dan dorongan dari ayah. Walaupun kami miskin, kami tidak pernah miskin dari kasih sayang dan dorongan dari mak dan ayah.

Anak-anak ayah kini sudah berjaya. Kakak saya sudah di PHD, abang pula kerja senang, tinggal mak seorang yang kami tatang bagaikan raja sehingga ke akhir hayat. 

Pengajaran, jangan fikir orang kahwin mewah itu semata-mata mahu menunjuk. Mungkin mereka ada tujuan yang lain seperti saya untuk membahagiakan keluarga dan merasa lebih sikit dari biasa walaupun diri sendiri menderita untuk mencari duit. Lebih dari biasa sahaja, jangan sampai melebih-lebih atau membazir. 

Moga usaha saya ikhlas untuk membahagiakan mak dan ayah mendapat ganjarannya di sisi Allah. Saya rindukan ayah. - Mai IIUM Confessions| PIXEL MEDIA

Tiada ulasan:
Write ulasan