Sabtu, 26 Mac 2016

Alah Bauan, Isteri Larang Sam (Bunkface) Pakai Minyak Wangi

PETALING JAYA: Penyanyi Sam (Bunkface) memberitahu dia tidak dibenarkan memakai sebarang minyak wangi apabila sterinya  iaitu Aida Azira Husin hamil sejak tiga bulan lalu.

Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Annuar Mohd Baharum, 28, berkata, perkara tersebut disebabkan alahan yang dialami isterinya disebabkan tidak boleh menghidu bau wangian.

"Sejak isteri mengandung saya tidak dibenarkan pakai minyak wangi kerana dia tidak boleh bau, apa juga wangian termasuk wangian kereta pun dia tidak suka dan dikatakan busuk.

"Saya faham dia sedang mengandung dan sensitif dengan beberapa perkara, selain itu, dia juga tidak boleh dengar saya sendawa walaupun perlahan," ujarnya kepada mStar Online.

Sam berkata demikian ketika menceritakan pengalaman pertama yang dilalui apabila isterinya hamil anak sulung mereka.

Bagaimanapun, Sam berkata, isterinya tidak mengalami alahan muntah yang teruk seperti kebiasaan wanita mengandung lain.

Katanya, Aida juga lebih gemar menghabiskan masa dengan kerjayanya sebagai penerbit rancangan di TV3.

"Saya lihat dia tidak terlalu cerewet hal makan, mengidam atau muntah-muntah. Sejak mengandung dia lebih suka menghabiskan masa dengan kerja, kalau tidak kerja dia akan bosan," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang perasaanya bakal bergelar bapa, Sam berkata, dia tidak sabar untuk menikmati saat-saat bahagia menyambut kelahiran anak pertamanya itu.

Dia juga sedar bakal menggalas tanggungjawab yang berat terutamanya sebagai peminpin sebuah keluarga.

"Perasaan memang gembira dan tidak sabar untuk menanti orang baru dalam keluarga kami. Dalam masa yang sama saya juga akan memikul tanggungjawab lebih berat.

"Kalau dulu kami hidup berdua sahaja dan selepas ini kena fikir dan utamakan keperluan anak," ujarnya.

Tambah Sam, Aida dijangka melahirkan cahaya mata mereka pada awal September 2016.

Sam dan Aida berkahwin pada 25 April 2015 dalam sebuah majlis yang diadakan di Dewan Sapura, Mines Resort City.

Tiada ulasan:
Write ulasan