Ahad, 27 Mac 2016

Abang Brian Rai 20 Kanak-Kanak Tidak Pernah Sambut Hari Lahir

PETALING JAYA: Penyampai Radio Suria FM Abang Brian mengadakan acara kemuncak Projek 30 Keceriaan Bersama Abang Brian dengan meraikan hari jadi 20 orang kanak-kanak di sekolah memasak kanak-kanak miliknya Young Chef Academy di Sri Hartamas, di sini pada Sabtu.

Abang Brian atau nama sebenarnya Brian Chen, 30, berkata, projek tersebut merupakan usaha Suria FM untuk menghargai kanak-kanak cemerlang dalam pelajaran dan kanak-kanak yang tidak pernah menyambut hari lahir.

Selain itu, mereka juga memberi perhatian kepada kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan perubatan dan juga kanak-kanak yang menjadi sumber inspirasi kepada orang lain.

"Projek ini sudah dimulakan sejak hari lahir saya pada Februari lalu ini dengan membuat 30 buah kek dengan bantuan tajaan barangan daripada BAGUS.

"Suria FM telah membuka penyertaan kepada orang ramai untuk menghantar cerita kisah luar biasa kanak-kanak yang ingin mereka raikan.

"Abang Brian telah pun menyerahkan sendiri kek-kek tersebut kepada 30 kanak-kanak terpilih bermula pada awal Mac yang lepas," ujarnya.

Tambahnya, acara itu berkolaborasi bersama pertubuhan Make-A-Wish Foundation yang juga badan organisasi yang cuba menunaikan permintaan akhir kanak-kanak mempunyai penyakit kritikal dan aneh.

“Ini adalah hadiah hari jadi yang paling bermakna buat saya. Terima kasih juga kepada rakan-rakan chef yang menyokong projek ini daripada awal sampai akhir.” katanya.

Abang Brian kini mengendalikan segmen Ceria Suria, setiap Isnin – Jumaat, pukul 10 pagi. Manakala Suria 30, setiap Sabtu, pukul 1 petang dan Inspirasi Suria pada setiap Ahad, pukul 6 pagi.

Tiada ulasan:
Write ulasan