Sabtu, 20 Februari 2016

Yatt Hamzah bakal kahwini juruvideo bebas dikenali ketika sertai misi kemanusiaan di Syria tahun lalu

“Dia bukan orang ketiga yang dikatakan menjadi punca saya dan bekas suami berpisah. Tak baik menuduh tanpa usul periksa kerana dia tiada kena mengena dengan permasalahan rumah tangga saya sebelum ini,” kata Yatt Hamzah yang bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya, Mohammad Zulfadli Khiruddin pada 27 Februari ini.

Pasangan ini akan diijabkabulkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada jam 8 pagi manakala majlis resepsi diadakan pada hari sama di Azasna Villa, Seksyen U12, Cahaya Alam, Shah Alam.

Ketika dihubungi, Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah, 36, mengakui mengenali juruvideo bebas berusia 26 tahun itu ketika menyertai misi kemanusiaan di Syria pada Februari 2015 namun hanya rapat selepas bergelar ibu tunggal.

“Ketika itu saya masih isteri orang dan kami hanya kawan dalam satu misi. Selepas berpisah dengan bekas suami barulah kami rapat, jadi tak adil sekiranya dia dilabel orang ketiga.

“Alhamdulillah, hubungan kami mendapat restu keluarga kedua-dua pihak malah anak saya dapat menerima kehadirannya dalam hidup kami.

“Tinggal 10 hari saja lagi kami akan disatukan dan masih ada persiapan yang belum siap. Majlis kami nanti ringkas saja dan hanya akan dihadiri keluarga serta teman rapat,” katanya.

Jelas pelakon dan pengacara ini, Zulfadli menyatakan hasrat untuk menyuntingnya sebagai suri hidup pada hujung tahun lalu.

Namun, ia bukan keputusan yang mudah baginya dan hanya bersetuju selepas melakukan solat Istikharah.

“Pemergian ayah tersayang turut mendorong keputusan ini. Hidup saya rasa kosong selepas arwah tiada dan kehadiran Zulfadli mengisi ruang itu.

“Alhamdulillah, keluarganya dapat menerima saya seadanya dan saya juga menyayangi mereka,” katanya yang tidak menafikan bakal suaminya itu pernah menjadi model koleksi sucibyyatthamzah namun ia berlaku secara kebetulan apabila model sebenar tidak dapat hadir ketika sesi fotografi berlangsung.

Ditanya mengenai perbezaan usia antaranya dan Zulfadli, Yatt berkata itu tidak menjadi masalah kerana bakal suaminya itu matang dan berfikiran jauh.

“Bagi saya usia hanyalah angka. Walaupun muda 10 tahun daripada saya, dia sangat matang. Lihat cara dia dibesarkan, saya yakin dia mampu menjaga saya dan anak dengan baik.
Terdahulu, Yatt bercerai dengan bekas suaminya, Abdul Mutalib Shukor pada 25 Ogos 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Suci Hanania Malika, 6.

Sementara itu, Abdul Mutalib berkata, dia tidak menafikan punca perceraiannya dengan Yatt disebabkan orang ketiga. Namun, dia tetap memaafkan mereka dan mendoakan yang terbaik buat bekas isterinya dan bakal suami.

“Saya harap dia menghormati, taat serta bersikap jujur dengan bakal suaminya itu serta tidak mengabaikan tanggung jawab terhadap anak kami Suci Hanania,” katanya dalam kenyataan kepada menerusi aplikasi WhatsApp semalam.
Abdul Mutalib berkata, dia tidak terkejut dengan berita itu dan menerimanya dengan hati terbuka.
“Saya berdoa segala yang dirancang Yatt berjalan lancar dan jodoh barunya ini berkekalan,”katanya

Tiada ulasan:
Write ulasan