Sabtu, 27 Februari 2016

Usia Bukan Penghalang, Tomok Sambung Belajar di UUM

Usia bukan halangan untuk seseorang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Justeru, penyanyi Shah Indrawan Ismail atau Tomok, 32, gembira apabila diberi peluang menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) cawangan Kuala Lumpur sejak Disember tahun lalu.

Memilih bidang Pengurusan Industri Kreatif dalam Pengajian Jarak Jauh (PJJ), Tomok turut bersama-sama rakan artis lain terbabit dengan beberapa projek membabitkan bidang seni.
Bagi Tomok yang menamatkan persekolahan dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), inilah peluang untuk dia menimba ilmu yang sudah lama ditinggalkan.

Di samping itu, ia juga sebagai pembakar semangat untuk peminat yang mungkin akan melakukan perkara sama dalam kehidupan mereka.

“Dulu saya pernah mendapat tawaran sambung belajar, tetapi ketika itu saya baru saja berkahwin dan sibuk dengan album baru.

“Disebabkan itu, saya terpaksa melupakan sementara hasrat menyambung pelajaran. Apabila mendapat tawaran belajar di UUM, dapat pula bersama teman artis yang lain, rasa gembira dan teruja,” katanya.

Tomok mengakui sukar menyesuaikan diri kerana sudah lama tinggalkan pelajaran dan ditambah pula dengan tanggungjawab sebagai suami dan bapa, tetapi dia lega kerana isterinya banyak memberi sokongan dan bantuan.

“Dia yang terlebih dulu menyambung pengajian peringkat ijazah banyak memberi tunjuk ajar,” katanya.

Tomok berkata, selain sokongan isteri, keluarga dan peminat, niat me­nyambung pelajaran ini diharap memberi impak positif kepada peminat.

Berkongsi perkembangan seninya, Tomok berkata, dia baru saja menghasilkan single baru bersama Manifesto berjudul Patahkan Sayap.

Sebagai permulaan, single itu dilancarkan menerusi YouTube terlebih dulu sebelum dimainkan di stesen radio.

“Saya memilih YouTube kerana melihat laman sosial adalah medium yang cepat sampai kepada orang ramai. Selain itu, Instagram (IG) juga menjadi pilihan kerana saya yakin peminat ramai yang suka melayari laman IG dan kemudian barulah kami mempromosikan lagu ini di radio,” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan