Jumaat, 12 Februari 2016

Tidak Faham Karakter, Pementasan 'Zombie La La La' Hambar

KUALA LUMPUR: Pengarah teater Zombie La La La, iaitu A.Aris Kadir memberitahu waktu latihan yang agak singkat membuatkan para pelakon utama teater berkenaan belum bersedia mengadakan pra tonton media yang diadakan pada Khamis.

Aris berkata, kelapan-lapan pelakon utama teater itu masih tidak memahami karakter sebenar yang perlu dilakonkan, selain terdapat pelakon yang menghadapi masalah kesihatan.

"Saya akui latihan hanya sepuluh hari tidak cukup untuk pelakon untuk memahami karakter masing-masing tapi saya yakin ada dua hari lagi untuk mereka betul-betul bersedia.

"Skrip diberi pada pelakon juga lambat membuatkan mereka belum benar-benar faham untuk mencorakkan watak sebenar mereka," ujarnya kepada mStar Online pada sidang media dan pra tonton teter berkenaan di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini pada Khamis.


Aris diminta mengulas tentang persembahan pelakon-pelakon pada pra tonton tersebut kurang memberangsangkan dan hambar secara keseluruhannya.
 
Antara pelakon yang menjayakan teater tersebut ialah Hafreez Adam, Amar Baharin, Janna Nick, Siti Saleha, Amy Mastura, Zulin Aziz, Rosnan Rahman dan Mei Fen.

Teater Zombie La La La akan dipersembahan dari 13 hingga 21 Februari ini di Panggung Sari, Istana Budaya.
Zombie La La La, cabar kemampuan Rohayah & Erma
Dalam pada itu, penerbit dan penulis skrip Siti Rohayah Attan berkata, ini merupakan kali pertama dia menulis skrip untuk teater bergenre komedi.

Katanya, penonton boleh memahami komedi yang disampaikan jika menonton teater tersebut sehingga akhir.

"Saya sudah biasa menulis karya yang berat, ini merupkan kali pertama menulis genre komedi, namun saya selitkan setiap ayat itu dengan mesej tertentu.

"Persembahan yang kami tonjolkan hari ini hanya sebahagian sahaja dan saya percaya masa persembahan penuh nanti penonton dapat memahami komedi yang disampaikan," ujarnya.

Zombie La La La mengisahkan sekumpulan zombie dari China, Amerika Syarikat, Indonesia, Mexico, Thailand dan Mesir telah belayar menaiki sebuah kapal ke Kuala Lumpur.

Tiket boleh didapati dengan melayari www.airasiaredtix.com  ataupun di kaunter tiket Istana Budaya.

Tiada ulasan:
Write ulasan